BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Showing posts with label jenjalan. Show all posts
Showing posts with label jenjalan. Show all posts

Monday, May 5, 2014

PBAKL akhir seorang mahasiswa...

Salam alaik
Kali ni nak bercerita tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pulak. Ni cerita luar alam yg saya pernah saya buat sepanjang ke PBAKL. Dua kali ke PBAKL dgn hanya berselang sehari! Hahha. Rekod tu.

1 Mei 2014
Ni kali pertama. Pergi sendiri dgn bas. Lain yg dirancang lain yg jadi. Tp perancangan Allah jua yg terbaik. Alang2 dah ada di KL serbu teruslah PBAKL walaupun waktu tu duit memang cukup2 untuk balik dan beli senaskhah novel aje. Tp sebab keazaman yg membara, haha.. langkahkan kaki juga ke PWTC. Semua pengangkutan awam diredah sebab kejar masa nak balik Ipoh lagi. Hasilnya...

dapat berjumpa abg Rosdi a.k.a Imaen.. yeayy!!!

Mat dan Minah juga dibawa pulang bersama! Yeay sekali lg.

Dan juga signature nye.. hihihi

3 Mei 2014 
Second time pergi dgn rombongan maktab. Bayar RM2 sorang, haruslah daku pergi kan. Cuci mata pun jadilah yek. Tp berganda seronok sb BB1M dah boleh guna balik utk beli novel. JS je yg ada dlm kepala otak waktu tu. Kikiki

ini yg buat saya dan ema terharu.. tak sangka bulan kelahiran diiktiraf.. wanita oktober yg tersampuk aura Lelaki Januari..haha 

dua org kawan saya yg tekun membaca.. sebuah novel berjaya dihabiskan sepanjang di PBAKL.. hebat kan???

terjumpa kakak2 manis Nisa' Tanjong Karang. adik pun manis juge..hehehe

ni lah tujuan utamanya. finally dpt juga bergambar dgn Kak Anis n Kak Nir.. both are my feveret authors
beberapa hari sebelum tu kak anis pm me her num so that i could contact her on that day.. terharu sgt sebab beliau sudi jumpa saya. walau kelam kabut nak balik waktu tu sempat juga berjumpa. plus dpt sign kak nir n pingu toha lg. wauu... terima kasih kak anis, terima kasih JS. I love u ols so much!!!

kalau tak membeli bukan namanya Fatinnur la kan... sambar juga 3 buah dgn sekeping BB1M, helaian yg terakhir. FYI, saya dh belanjakan RM 200 untuk novel shj. Dan kesemuanya novel JS.. kegilaan apakah ini??? hahha
p/s: tak sempat ambil sign kak ika madera. btw, thanks for the nice postcard! ;)

PBAKL tahun ni tak kick sgt sb tak sempat jumpa my feveret author ever, Kak Su. Selalu setiap tahun mesti ambil gambar dgn beliau even though tak beli novel pun. Tahun ni tak sempat jumpa langsung. Pandang dari jauh aje. Huhu

Sekian cerita PBAKL untuk tahun ni. Tahun depan inshaAllah dah posting, tak tahu dapat jejak lagi ke tak PWTC. sob3... Apa2pun still happy sb I got what I want. Cuma sekarang fikir nak khatam novel yg berlambak-lambak tu la pulak. Rajin membeli liat membaca. Alahai Fatinnur! 


footnote: cerita PBAKL kali ni lebih manis sebab 'pertemuan' tak diduga tu. Hailah...

Friday, May 2, 2014

TRAVELOG KEMBARA KEMBOJA (bhgn 3&4)

BAHAGIAN 3

“Life is like a jigsaw puzzle, you have to see the whole picture, then put it together piece by piece!”~Terry McMillan

Azan subuh dari Masjid Nuruddin yang terletak bersebelahan Madrasah Nikmah mengejutkan kami dari lena yang panjang. Permulaannya, kami menyangka tersalah dengar, tetapi ternyata masa tidak akan sesekali menipu melainkan jarum jam sudah tidak berfungsi lagi. 4.30 pagi sudah masuk waktu Subuh di Kemboja! Usai persiapan diri dan solat Subuh, masa yang ada sebelum aktiviti seterusnya bermula diisi dengan bacaan Mathurat dan al-Quran. Rohani juga perlu diberikan makanan. Jiwa yang kosong tanpa pengisian akan menjauhkan diri daripada Allah seterusnya menyebabkan diri lalai daripada mengingatinya.
Seawal 7.30 pagi, matahari sudah setinggi galah. Sudah molek benar untuk mendapat rezeki mudah dengan kekuatan solat dhuha. Suara memanggil untuk bersarapan bergema usai solat sunat dhuha. Sarapan pagi kami pada hari kedua sangat mengujakan. Roti panjang ala-ala roti Perancis yang kami lihat di kaki lima semalam! Rezeki, jika sudah Allah aturkan untuk kita, tetap akan menjadi milik kita. Justeru, tiada istilah “rezekiku diambil orang”. Alhamdulillah, roti panjang yang bernama ‘nompang’ itu kami cecah dengan susu. Teringat pula roti bom di Malaysia, juga dicecah susu dan kuah kari. Walaupun agak sedikit liat tetapi, masuk ke tekak tanpa malu-malu juga.
***
“The world is a book and those who do not travel read only one page.” ~Saint Augustine of Hippo

Kanak-kanak berpakaian seragam biru sudah mula berkumpul di hadapan madrasah. Mereka tentunya pelajar di madrasah itu. Ramai rupanya kanak-kanak di Kampung Rokapopram ini. Satu yang saya kagumi, seawal usia lima tahun saya kira sudah boleh diharap untuk menjaga adik. Masakan tidak, mengelek adik di pinggang seakan perkara biasa walaupun hendak keluar bermain. Barangkali ini juga faktor mengapa ramai gadis Kemboja berkahwin pada usia yang muda. Pada usia kanak-kanak lain di Malaysia sedang sibuk bermain masak-masak, kanak-kanak di sini sudahpun boleh menguruskan anak!
Tugasan pertama kami untuk hari ini ialah mengendalikan kesedaran pendidikan dan sukaneka. Anak-anak kecil yang bersekolah di sini kami dedahkan dengan permainan ‘jigsaw puzzle’ untuk menguji kemahiran berfikir mereka. Mereka kelihatan begitu teruja kerana pertama kali berpeluang menikmati aktiviti sebegini. Di Malaysia, barangkali ‘jigsaw puzzle’ tidak lagi dipandang oleh kebanyakan anak kecil dek pengaruh manga, PES dan PSP yang kuat. Tetapi di sini, ini sudah cukup menggembirakan mereka. Dari jauh, keriuhan suara mereka sudah dapat didengari. Matahari pukul 10 pagi sudah tegak berdiri di atas kepala. Panas mentari menggigit-gigit kulit sekaligus menukarkan warna kulit. Apa yang menarik, panas di sini disertai angin yang dingin lalu tidak memberi peluang untuk tubuh menghasilkan peluh. Acara sukaneka dibahagikan dalam bentuk stesen bagi memudahkan kami menguruskan bilangan kanak-kanak yang terlalu ramai. Pada permulaan, sangat sukar untuk berinteraksi dengan kanak-kanak ini kerana masalah bahasa. Ustaz-ustaz mereka yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu banyak membantu kami memberi arahan. Di sini, kebanyakan yang mampu bertutur dalam bahasa Melayu adalah mereka yang pernah bekerja atau menuntut ilmu di Malaysia. Panas bukan lagi menjadi penghalang kepada kanak-kanak ini untuk bergembira. Kami turut terhibur dengan telatah mereka yang sangat comel!
Satu perkara yang saya perasan tentang budaya ilmu di sini ialah, mereka sangat-sangat menyantuni dan menyanjungi ilmu agama. Tak usah ditanya tentang one two three akan tetapi, sebut sahaja alif ba ta, terpancar sinar di mata anak-anak kecil ini. Malah ada antara mereka meluahkan hasrat untuk belajar agama di Malaysia. Anak-anak kita di Malaysia bagaimana pula?
Tengah hari  kami dijamu dengan lauk pauk berasaskan daging. Harus diakui sekali lagi, menunya ternyata menambat selera kami. Acara penyampaian hadiah mengambil tempat selepas itu. Kanak-kanak dan orang-orang kampung kembali berkumpul di hadapan madrasah. Sumbangan berupa wang, kain pelikat dan al-Quran bahasa Champ hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin diserahkan kepada guru-guru agama yang mengajar di madrasah ini oleh mudirnya Ustaz Ramzan. Persembahan daripada kedua-dua pihak (madrasah dan IPG) memeriahkan lagi suasana petang itu. Ia pastinya menjadi memori yang tidak dapat kami lupakan saat harus menambah lagi empat persembahan memandang anak-anak kecil ini menyediakan hampir 6 persembahan untuk kami. Semuanya secara spontan tanpa latihan yang mencukupi. Bunyi muzik bercempera namun kami redahi juga. Lagu bulan-bulan Islam, Asma’ ul Husna, doa rabithah menjadi penyelamat kami pada hari itu. Sungguh geli hati tatkala memikirkan kembali rentak qasidah yang bertukar tiba-tiba. Apa yang pasti, ini semua kenangan terindah untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Tidak disangka-sangka pula persembahan pertama kumpulan qasidah kami adalah di Kemboja. Bertuah rasanya!
Aktiviti petang kami dipenuhi dengan menghirup udara Kg Rokapopram. Tidak sukar untuk meminjam basikal daripada anak-anak kecil di sini walaupun masalah komunikasi yang berlaku. Kami pasti akan dihon dari depan mahupun belakang sedangkan sudah berada di bahu jalan. Mana tidaknya, di sini kita akan berjalan di sebelah kanan jalan sedangkan di Malaysia di sebelah kiri. Untuk membiasakan diri sedikit mengambil masa. Sempat kami menziarahi beberapa rumah penduduk di sini. Satu sikap yang harus dipuji ialah, mereka sangat-sangat meraikan tetamu. Kami dijemput masuk tanpa segan silu biarpun rumah mereka tidaklah seberapa.
Apabila masuk tetamu pada satu keluarga (rumah), maka dimurahkan Allah rezeki keluarga itu, dan apabila tetamu itu keluar, maka Allah mengampuni dosa-dosa keluarga itu. [HR. Dailami dan Anas]
Hari sudah hampir senja saat kami pulang ke madrasah. Tiba masanya untuk mempersiapkan diri menyembah yang Maha Esa. Solat Maghrib dan Isyak ditunaikan secara jamak. Di luar madrasah, jemaah sudah berpusu-pusu ke Masjid Nuruddin. Motor dan basikal diparkir di bawah pohon. Di sini, surau dan masjid sentiasa dipenuhi dengan jemaah. Takbir raya yang berkumandang sayup-sayup selepas solat Isyak mengingaktan kami bahawa raya Korban kami tahun ini tidak bersama-sama keluarga. Perasaan sebak yang bertandang cuba dikawal agar air mata tidak membanjirkan Madrasah Nikmah malam ini. Pengalaman berhari raya pertama kali tanpa keluarga di sisi tentunya tak dapat saya lupakan. Beberapa anak kecil menjenguk kami di madrasah. Melayani telatah mereka membuang sedikit perasaan sedih yang bertamu. Malam kami diselimuti rasa yang pelbagai. Tak sabar rasanya untuk menjemput hari esok.
_____________________________________________________________________________________
BAHAGIAN 4

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (al-Kauthar : ayat 1-2)

26 Oktober 2012, 10 Zulhijjah 1433H. Hari ini hari raya! Mandi sunat hari raya kami laksanakan sebelum bertemu yang Maha Esa dalam sujud yang penuh syahdu. Ustaz Ahmad ada memberitahu, di sini jemaah yang hadir ke masjid untuk bersolat Subuh akan terus berada di sana sehingga solat sunat hari raya. Kami bersiap-siap ala kadar (baju tidak bergosok) biarpun berpakaian lengkap baju raya. Tidak seperti masyarakat di sini, tiada baju raya bagi kebanyakan dari mereka. Wanita-wanita berumur yang kami lihat sekadar mengenakan kain batik dan baju blouse lusuh. Di Malaysia, Tahun Baru Cina pun, orang Melayu yang terlebih sibuknya. Tiada jemaah muslimat bersolat di sini melainkan kami sahaja. Mungkin sudah waqi’ mereka begitu. Air mata tumpah juga usai solat sunat hari raya Aidiladha. Kerinduan pada sanak saudara di kampung gagal dibendung lagi. Juadah raya kami hanyalah kuih batang buruk yang dibawa dari Malaysia, air mineral dan jajan. Sesekali merasai apa yang dirasakan oleh penduduk di sana menambahkan lagi rasa syukur dengan apa yang kami ada. Ada seorang mak cik kemudiannya datang membawa beberapa jenis kuih. Kuih raya barangkali. Hendak dibandingkan dari segi tekstur warna dan struktur rasa dengan kuih raya di Malaysia tentulah kali ini Malaysia yang menang. Ada sejenis kuih yang rasanya sama seperti kuih bunga pudak yang terkenal di negeri kelahiran saya, Kedah.
***
Upacara korban mengambil tempat di rumah-rumah penduduk yang terpilih lewat petang usai solat Jumaat. Alhamdulillah, ibadat korban berjalan lancar. Moga-moga korban yang ikhlas ini diterima oleh Allah. Perasaan yang berbaur-baur tetap tidak melupakan kami kepada sahabat-sahabat yang sedang merentas jalan darat dari melalui Bangkok. Di manakah mereka bersolat hari raya? Apakah juadah pagi raya mereka? Mereka dijangkakan menyertai kami paling awal petang ini. Kami menanti mereka penuh keterujaan. Tak sabar mahu mengetahui kisah kembara mereka di negara Gajah Putih. Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka.
Kesempatan terakhir kami gunakan dengan bersiar-siar mengelilingi kampung. Destinasi pilihan pada kali ini ialah sawah bendang, sesejuk mata memandang. Beberapa potret dirakam sebagai kenang-kenangan sepanjang hayat. Kami disapa beberapa penduduk Malaysia yang turut mengerjakan ibadah korban di kampung berhampiran. Kesedaran untuk membantu saudara Muslim di Kemboja kian berkembang dalam kalangan penduduk di Malaysia secara khususnya dan penduduk Islam lain secara amnya. Setiap tahun Kemboja tidak sunyi dari kehadiran orang Malaysia yang ‘berkorban’ di sini. Sekiranya rasa cinta ini meresap ke seantero dunia, pasti tiada lagi kezaliman dan kesengsaraan yang membelenggu umat Islam terutama di Palestin, Afghanistan dan Syria. Tanggungjawab kita sesama Muslim bukan sekadar harta benda tetapi doa itulah senjata ampuh dan perisai orang beriman.
***
“Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia." (al-Baqarah:117)

Alunan tola’al badru alaina menyambut kehadiran sahabat-sahabat yang ‘terkandas’. Mereka seramai 13 orang tiba dibawa van dari sempadan Kemboja. Suasana sedih menyelubungi kami saat itu. Rasa syukur terzahir dengan rasa sebak yang tak tertahan. Allahuakbar, Allah Maha Besar, segala puji hanya untukNya. Kami dihimpunkan dalam keadaan yang cukup-cukup indah. Dengan kuasa Allah, tiada yang mustahil. Perancangan Allah itu Maha Hebat.
Kami menikmati makan malam yang meriah dengan masing-masing sibuk bertanya hingga tak menang mulut bercerita. Makan malam jadi luar biasa sedap pula. Malam ini merupakan malam terakhir kami di Kg Rokapopram. Bulan purnama penuh kami tatap sepuas-puasnya seakan-akan tiada lagi bulan esok hari!

bersambung...

BLESSING!

Salam alaik

Hari ini...
2 Mei 2014
Hampir seminggu
Saya telah kembali ke bumi Ipoh, menyambung perjuangan sebagai mahasiswa IPG Ipoh usai praktikum 3 bulan. Finally, it's over walaupun belum officially. Julai menanti untuk internship pula. Lepas tu, slmt tinggal praktikum... heee

Mmg susah nak percaya semuanya dah selesai, sama macam tak percaya juga masa dapat tau mula-mula dulu dapat praktikum di Padang Rengas. Sehari macam setahun baq hang. But thing goes better from day to day. Bila hari last rasa sebak-bertakung air mata apa tandanya tu? hihi

I've learnt something;
Kadang2 bila kita diuji sedikit kita selalu nampak yg negatif itu aje tanpa sebenarnya kita fikir hikmah yg datang lg banyak dri ujian itu. This is what I call as "BLESSING". 

BLESSING
Mmg tidak ada yg sempurna, kelompongan pasti ada di mana2 tp sekiranya semua dipandang dgn mata hati nescaya kita melihatnya sebagai tanda kasih sayang Allah. Apa yg Allah bg tak ada yg buruk sebenarnya. Cuma keyakinan kita kpd Allah itulah yg akan menentukannya. 

Hadis Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.” H.R. Abu Hurairah

Anak2 murid yg baik, guru pembimbing dan supervisor yg byk membantu, guru2 yg mesra, pentadbiran yg memahami.. bukankah itu rahmat sebenarnya? Semua itu dtg bersilih ganti. Bila terfikir sendiri, banyak dosa yg dikendong tapi Allah masih tetap mahu menolong. Baik kan Allah?

Kasih sayang Dia tu mendahului kemurkaanNya.

Jauh lagi perjalanan. Jauh. Moga2 Allah pandu sentiasa. Dalam keredhaanNya. Serius, siapa yg nak jadi cikgu yg biasa-biasa? Maka kena usaha. Untuk jadi yg luar biasa. 

SK Tun Dr. Ismail, Padang Rengas; sekolah indah dan permai

Abam KDH yg tlh berjaya kubawa pulang sejauh 69KM from pdg rengas to ipoh.. daebak tak? hehehe


Jumpa lagi
Babai!


gambo anak murid blm transfer dr kamera.. nanti2lah ye.. ;)

Sunday, October 27, 2013

TRAVELOG KEMBARA KEMBOJA (bhgn 1&2)

Salam alaik
Alhamdulillah
Sudah setahun tulisan ini saya 'peram' dan tiba masanya untuk saya sajikan 'hidangan' ini buat tatapan sahabat2. Maaf sedikit panjang, ayat pun skema barangkali (yalah, menulis travelogkan)
Oh, ya! Gambar2 di entry lain ya!
Selamat membaca!

Mula [29.10.12/07:35]

~Kisah Aku, Mereka dan Kita~

Sebuah catatan kembara dari pandang sisi seorang bakal guru

BAHAGIAN 1

“Kami dan backpacking.”

Mengembara telah menjadi kegilaan saya buat sekian lamanya. Biarpun tidak pernah berpeluang mengembara ke luar negara, akan tetapi peluang-peluang mengembara di tanah tumpah darah sendiri sudah cukup memberi makna. Atas sebab itu, apabila tawaran kembara ke Kemboja ini datang, saya tidak lagi ragu-ragu untuk mengatakan “YA”. Saya sukakan cabaran, saya sukakan pengalaman. Kerana itulah yang banyak mendewasakan saya selama ini, kerana itulah yang banyak memberi erti hidup. Sungguh, Allah tidak menciptakan kita sia-sia. Alhamdulillah, di dalam perjalanan hidup ini, Allah ciptakan ukhwah bersama-sama sahabat yang berkongsi cinta dan cita yang sama.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (al-Hajj: 46)

***

“Action speaks louder than words.”

Perbualan dengan seorang teman sebelum beliau berangkat ke Acheh bersama sahabat-sahabat yang lain menjadi permulaan kisah pengembaraan ini. Saat dan ketika itu, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, “Macam mana aku boleh tak tahu ada program ni?” Rugi. Sungguh-sungguh rugi terlepas peluang keemasan sebegini kerana sememangnya sejak dulu saya berkeinginan untuk mengikuti misi kemanusiaan. Sejak cita-cita untuk bergelar doktor tidak kesampaian, impian ini sudah saya simpan kejap-kejap dalam lipatan kenangan. Rupanya, nikmat Allah tu sangat luas. Begitu banyak jalan terbentang untuk berbuat kebaikan.

Teringat perbualan kami dengan murabbi kami, Tuan Haji Zakaria Nasirudin atau mesra disapa Ustaz Z, “Ustaz, jom nanti kita buat program kat tempat lain pulak.” Ustaz Z yang sentiasa tenang menjawab, “OK. Boleh, tak dak masalah. Tapi saya tak mau cakap-cakap saja, kali ni saya nak tengok kamu pulak yang uruskan.” Tanpa kami sedari, perbualan yang amat ringkas itulah menjadi pemula kepada kembara ini.

***

“Kejayaan itu dicipta oleh orang biasa yang berusaha secara luar biasa~Anynomous”

“Program ini bukan program biasa.” Itulah yang kami sering diingatkan. Kami ke sana bukan untuk makan angin apatah lagi bercuti-cuti Malaysia. Jika diberi pilihan sudah tentu kami lebih rela berkurung di dalam bilik dan mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan akhir sehari selepas pulang dari misi ini berbanding ‘misi’ menghabiskan duit di Kemboja yang pada kebanyakan orang negara kelas ketiga yang tak punya apa-apa. Mengembara ke kota cinta Perancis tentu jauh lebih mengujakan. Akan tetapi, ada perkara lain yang menjadikan program ini bukan program biasa-biasa, hingga kami membuang segala pandangan negatif itu jauh-jauh, hingga menjadikan kami lupa seketika pada peperiksaan. Membaca pada nama misi sudah cukup menjelaskan maksud dan tujuan kami ke sana. “PROGRAM KORBAN/AQIQAH DAN KHIDMAT MASYARAKAT BERSAMAMU KEMBOJA”. Bukan setakat mengerjakan ibadah korban di sana, beberapa program lain turut dirangka bilamana kertas kerja pelaksanaan program ini dihantar kepada pihak atasan termasuklah khidmat masyarakat (mewakafkan pam air dan al-Quran bahasa Champ, gotong royong, sukaneka dan kesedaran pendidikan). Sebaik sahaja kertas kerja diluluskan, pamplet-pamplet mengiklankan sumbangan dan penyertaan korban mula diedarkan kepada warga institut dan orang awam. Alhamdulillah, respon yang diterima cukup memberangsangkan. Ada yang menginfakkan harta untuk sembelihan korban dan ada juga untuk pembinaan pam air yang menelan belanja hampir RM700 untuk setiap satunya. Inilah tanda persaudaraan sesama Islam yang merentas bangsa dan negara.  

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat:10)

Tidak cukup dengan itu, ada yang bergerak mencari sponsor daripada pihak luar berupa telekung, kain pelikat, dan beberapa barangan lain untuk diwakafkan kepada penduduk di sana. Demi misi ini, rela kami tebalkan muka. Apalah ertinya sedikit rasa malu itu berbanding ganjaran pahala dan keredhaan Allah yang menanti kelak.

***

“Wahai orang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih. Kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (as-Saff:10-11).

Cerita kurma dan ais kacang kemboja….

Perjalanan yang jauh ini tentunya menuntut perbelanjaan yang besar. Di bawah bimbingan Ustaz Z, kami diajar bagaimana mendapatkan dana bagi membiayai program kami ini. Bermula dengan bergerak dari jabatan ke jabatan untuk menjual kurma kepada pensyarah-pensyarah sehinggalah membuka gerai jualan ais kacang kemboja (Teik Sedait Khmer) resipi ciptaan kami sendiri sempena Festival Ukhwah anjuran Biro Kerohanian dan Moral. Ada juga sahabat-sahabat yang membuat dan menjual kuih raya, menjual tudung dan wang hasil jualan itu diinfakkan pula untuk program ini. Subhanallah! Hebatnya pengorbanan sahabat-sahabat. Teringat pula saya pada kisah sahabat Rasulullah S.A.W., Saidina Abdul Rahman bin Auf yang rela menginfakkan harta kekayaannya demi hijrah.

Bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. (al-Baqarah:261)

Walaupun hasilnya tidaklah begitu lumayan, tetapi sedikit sebanyak berguna untuk menampung sedikit daripada kos perjalanan dan makan minum kami di sana.

***

Seri murni hiasan tamu,
Indah mekar tepian muara;
Hari ini kami bertemu,
Moga kekal menjalin mesra.

Pertemuan demi pertemuan menjadi rutin biasa bagi kami demi memastikan kelancaran program yang julung-julung kali diadakan ini. Tugasan dibahagikan bagi memudahkan pelaksanaan gerak kerja dan mewujudkan rasa kebersamaan terhadap program ini. Begitu juga pensyarah-penyarah dan kakitangan yang terlibat, tugasan ini tidak diserahkan kepada kami bulat-bulat sebaliknya bimbingan turut mengiringi.

Tanggal 1 Ogos 2012 merupakan pertemuan pertama kami Ustaz Ahmad selaku wakil daripada Kg Rokapopram. Dengan ustaz lah kami banyak berhubung (Ustaz Ahmad mampu bertutur dalam bahasa Melayu). Dan pada hari berkenaan, kami telah menyampaikan separuh daripada sumbangan untuk pembinaan pam air di sana. Kesempatan yang ada turut kami manfaatkan untuk mendapatkan sedikit ‘overview’ tentang kehidupan masyarakat di sana supaya tidaklah terkena ‘cultural shock’ sebaik tiba di Kg Rokapopram nanti.

Perbincangan dan pemberitahuan turut mengambil tempat di alam maya menggantikan pertemuan muka. FB group menjadi saksi pertemuan kami dalam menyelaraskan gerak kerja. Inilah buktinya, Islam itu tidak jumud, tidak sesekali menentang kemodenan. Teknologi sekiranya digunakan pada jalan yang betul akan memanfaatkan manusia dengan sebanyak-banyak.
_________________________________________________

BAHAGIAN 2


Hari dinanti telahpun tiba…

Kami seramai 35 orang yang diketuai oleh Ustaz Z bergerak meninggalkan kampus lebih kurang jam 12.30 malam menaiki bas baru institut menuju ke Low Cost Carrier Terminal (LCCT). LCCT menyambut kami pada pukul 4.30 pagi. Itulah pertama kali saya sampai di LCCT. Suasana di LCCT jauh lebih meriah berbanding KLIA (mungkin kerana perkhidmatan tambang murah yang disediakan di sini menjadikan LCCT tempat tumpuan orang ramai terutama untuk destinasi jarak dekat). Akan tetapi sekiranya ingin dibandingkan antara kedua-duanya, tentulah KLIA lebih eksklusif dengan gelaran lapangan terbang antarabangsa yang dimilikinya. Selesai menurunkan beg dan kotak-kotak berisi barangan (bola, jam dinding, alat tulis, buku, dll) untuk khidmat masyarakat (barangan ini kelak akan diwakafkan kepada penduduk di sana), kami memasuki Balai Pelepasan Antarabangsa untuk melalui prosedur-prosedur biasa menaiki kapal terbang seperti luggage checking in, immigration checking, dan lain-lain. Perasaan teruja tidak dapat digambarkan dengan kata-kata lagi melainkan terukir pada wajah setiap dari kami. Iyalah, ada di antara kami termasuk saya sendiri, inilah kali pertama ke luar negara dan kali pertama juga menaiki kapal terbang. Proses menunggu untuk checking in mengambil masa agak lama sedangkan kami tiba lebih awal. Alhamdulillah, urusan checking in berjalan dengan lancar. Begitu juga urusan pemeriksaan pasport.

Mehnah pertama dalam kembara bermula saat check in baggage bermula. Ada hand luggage peserta yang tidak dapat dibawa masuk ke dalam pesawat kerana saiz yang tidak muat untuk diletakkan di dalam kabin. Luggage tersebut terpaksa dipunggah semula dan dimuatkan ke dalam beg yang lebih kecil. Berlaku sedikit kegelutan pada saat itu namun berjaya diselesaikan dengan bantuan beberapa orang peserta yang pernah menuntut di United Kingdom yang tentunya terbiasa dengan situasi-situasi sebegini. Masa juga sedikit terbuang di situ dan masa hampir melewati boarding time. Kami berlari-lari ke gate saat menyedari masa gate ditutup sangat-sangat menghampiri sedangkan pada ketika itu, kami belumpun menunaikan kewajipan pada Sang Pencipta. Alhamdulillah, saya dan sahabat-sahabat sempat meloloskan diri ke dalam perut kapal terbang. Bagasi disumbat ke perut kabin. Tempat diambil. Perasaan teruja tadi sedikit demi sedikit ditukar dengan ketenangan. Berhampiran kami duduk beberapa kakitangan dan peserta dari EZQurban. Mereka ramah melayan pertanyaan demi pertanyaan kami yang pertama kali ke Kemboja. Dalam pada itu, kewajipan pada Sang Pemilik Alam tidak kami lupakan. Disebabkan tidak lagi dapat bergerak untuk ke tandas, kami sekadar solat hormat waktu di tempat duduk masing-masing. Namun begitu, solat ini wajib diqada’ semula nanti memandangkan ia tidak dikerjakan dalam keadaan yang sempurna. Indahnya Islam yang sentiasa memudahkan umatnya. Tidak kira pada waktu dan keadaannya, solat tetap wajib ditunaikan kerana kelak itulah perkara pertama yang akan ditanya.

Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah suka (redha) supaya rukhsah-rukhsah yang diberikannya diamalkan sebagaimana ia tidak suka perkara-perkara maksiat dilakukan.”(Ahmad)

***

      “The difference between school and life? In school, you're taught a lesson and then given a test. In life, you're given a test that teaches you a lesson.”~Tom Bodett

Tidak lama selepas itu, saya menerima mesej yang mencuri ketenangan kami serta merta.

“Ustz+shbt2 yg len 11 org stuck. Dpa suh doakan.”

“Kat mana?”

“Dpa dpn gate. 13 org. Ustz+din+zakirah+dll.”

Penaka dada dihempap batu besar saat menerima berita itu. Allah menimpakan ujian sekali lagi. Hanya Allah yang mengetahui perasaan cemas berbaur takut dalam hati setiap daripada kami ketika itu. Ummi Syafiqah selaku Timbalan Pengarah sudah terduduk tidak tahu berbuat apa lagi setelah mesej seterusnya menyusul.

“Kami terlepas kapal terbang. L Ada 13 org yg tertinggal sbb p solat subuh. InsyaAllah, pkul 3 ptg ni baru kami trbang. Tapi kena tmbh ongkos lg. Doakan kami shbt2, mudah2an dipemudahkan. J

Allah. Saat itu kegembiraan bagaikan lenyap dibawa terbang dek burung-burung di awanan. Tinggal kami 22 orang sahaja di dalam pesawat termasuk zaujah Ustaz Z, seorang pensyarah wanita dan seorang kakitangan wanita. Selebihnya adalah kami yang tidak tahu apa-apa tentang Kemboja ini! Apalagi yang mampu kami perbuat saat tayar kapal terbang tidak lagi mencecah bumi, sudah mahu berpatah balik pun sudah tidak boleh lagi. Perjalanan mesti diteruskan. Sepanjang pesawat AK 1476 membelah awan, hati tidak putus-putus berdoa agar sahabat-sahabat dan pensyarah-pensyarah yang terkandas akan segera tiba di Pnom Penh sama ada melalui jalan udara mahupun jalan darat. Mesej masih terus menghujani telefon selular namun apakan daya, kredit sudah tidak cukup untuk membalas setiap mesej yang masuk. Kami seakan terputus hubungan seketika. Tidak kurang juga mesej daripada sahabat-sahabat yang tidak ikut serta menanyakan perkhabaran kami tatkala berita ‘kekandasan’ 13 yang lain sudah tersebar dengan cepatnya.

Kami cuba berlagak tenang meleraikan kegalauan hati. Tetapi tidak bagi Ummi Syafiqah. Saya mengerti. Kalau saya berada di tempat Ummi Syafiqah pun tentu akan merasakan hal yang sama. Masakan tidak, ibarat patah sebelah kaki tatkala menerima perkhabaran Ustaz Z dan Neruddin Pengarah Program tidak lagi bersama kami di dalam pesawat! Kebarangkalian untuk tiket ke Pnom Penh ada pada hari yang sama amat tipis sekali. Kami pasrah saat itu andai ditakdirkan 13 yang lain itu tidak sampai-sampai ke bumi Kemboja. Walau apapun yang berlaku, misi tetap perlu diteruskan. Itu tekad kami!

***

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (ar-Rahman:18)

Satu perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata tatkala melihat kepulan awan seperti gula-gula kapas. Kamera pantas sahaja diangkat dan gambar-gambar awan yang terlalu indah pada pandangan mata sudah siap dirakam lensa. Tidak memerlukan DSLR yang mahal, apatah lagi melaraskan aperture mahupun shutter speed, ‘lukisan semula jadi’ Allah sudah cukup-cukup cantik. Subhanallah, maha suci Allah yang menciptakan langit dan bumi.

Perjalanan ke Kemboja memakan masa hampir satu jam. Jauh lebih cepat dari KL ke Sabah. Alhamdulillah, sepanjang penerbangan tidaklah didatangi rasa loya dan bengang telinga. Cuma gayat datang sesekali. Sempat juga melelapkan mata saat kebosanan mula menyapa.

9.22 pagi waktu Malaysia. Seakan tidak percaya kami telahpun berpijak di bumi Kemboja. Seakan tidak percaya juga 13 yang lain yang sepatutnya berada bersama kami di sini masih berada di Malaysia. Yang pasti nasib mereka tidak diketahui.

Lapangan terbang Pnom Penh tidaklah segah KLIA, tidaklah sesesak LCCT tetapi boleh dianggap bertaraf tinggi. Masa terbuang sekali lagi di bahagian checking in ini. Berperang pula dengan backpack yang berat dan hand luggage yang bukan satu. Selesai prosedur checking in dan segala bagai, kami ke ruang tuntutan bagasi pula. Nah, kali ini beberapa kotak berisi barang penting pula tidak ditemui! Teka teki berlegar di minda kami tentang misteri ‘kehilangan’ kotak-kotak tersebut. Setelah berunding dengan pegawai yang berkenaan, kotak-kotak tersebut dikenalpasti tidak sampai bersama kami di kemboja kerana kotak tersebut didaftarkan di atas nama perserta yang tertinggal di Malaysia. Satu pengajaran buat kami, pentingnya untuk menyediakan senarai semak barang dan tugasan supaya apabila berlaku lagi situasi sebegini tidaklah semua seperti kucing hilang anak. Apa-apapun yang tertinggal di Malaysia sudah tidak penting lagi buat masa ini. Yang akan berlaku esok dan seterusnya itulah yang perlu diberi lebih perhatian. Ustaz Ahmad sedia menunggu kami di pintu masuk sebaik sahaja kami keluar. Terasa sedikit lega melihat Ustaz Ahmad. Kepada Ustaz Ahmad kami khabarkan apa yang telah berlaku.

***

Kemboja, here we come!!!

Seterusnya kami menaiki bas yang telah disewa menuju ke Bandar Pnom Penh. Pnom Penh, ibu negara Cambodia yang tidaklah segah kota metropolitan Kuala Lumpur. Ibarat pekan satelit yang sedang membangun, jalan rayanya dipenuhi kereta dan motor yang berasak-asak. Apa yang menarik di sini, motosikal boleh dibonceng melebihi dua orang dan pembonceng di belakang tidak diwajibkan memakai topi keledar. Memotong dan mencilok sana sini adalah perkara biasa. Hon pasti kedengaran setiap kali ada kenderaan yang ingin memotong dari belakang kerana kebanyakan motosikal tidak dilengkapi cermin pandang sisi. Namun begitu, sepanjang perjalanan di sana, tidak pula kami bertembung dengan mana-mana kemalangan. Rakyat di sini kami lihat lebih berhemah di jalan raya (sekalipun tidak memakai topi keledar) kerana mereka tidak memandu atau menunggang dengan laju dan juga tiada kedengaran maki hamun sekiranya hampir berlanggaran antara satu sama lain. Berada di dalam kesesakan lalu lintas tidak sedikitpun dihujani rasa stress cuma sesekali bunyi hon bertalu-talu sedikit bingit di pendengaran. Dalam tidak tahu ke mana arah tuju seterusnya, sempat kami mengalunkan qasidah diiringi paluan kompang dan gemerincing tamborin. Ini sebagai latihan kepada persembahan kami untuk masyarakat di Kg Rokapopram nanti. “Selawat Tobibiyah dan Solatun Bissalamil Mubin” beralun merdu di dalam bas sebagai tanda cinta dan ingatan kepada kekasih Allah tak kira di mana berada.

Memandangkan perut sudah meronta-ronta minta diisi, kami terlebih dahulu singgah di sebuah Restoran Makanan Thai. Kami dihidangkan dengan nasi putih, tomyam dan sup ayam. Pertama kali juga di sini kami menikmati teh bunga jasmin tanpa gula! Sungguh aneh apabila memikirkan di Malaysia, sekalipun harga gula seringkali naik, makanan tidak pernah ketandusan gula. Bahkan semakin bertambah pula penghidap kencing manis dari hari ke hari. Nasinya sedikit kenyal seakan-akan dicampur pulut. Dan air batunya boleh tahan besar juga, kalau terlekat boleh jadi arwah serta merta. Alhamdulillah, perut dan tekak tidak berhadapan masalah beradaptasi dengan makanan di sana kerana rasa makanannya hampir sama dengan masakan Thai di Malaysia. Usai makan, kami dibawa melawat ke Cheuong Ek Genocidal Centre. Di sini kesan kekejaman rejim Polpot dipamerkan. Sungguh syahdu membaca kisah-kisah pembunuhan kejam tanpa rasa kemanusiaan oleh rejim Polpot. Di sini turut terdapat muzium kecil yang mempamerkan barang-barang tinggalan seperti baju dan lain-lain.

Kami kemudiannya di berpatah balik ke restoran tadi untuk makan tengah hari pula. Barangkali di Pnom Penh ini, restoran ini sahaja yang diyakini ke’halalan toyyiban’nya. Kali ini nasi putih dan sup ikan menjadi santapan kami. Rasa teh bunga telah ditambahbaikan dengan sedikit gula. Terasa menikmati diet yang sihat kerana masakan kurang minyak dan air pula kurang gula. Mungkin disebabkan itulah jarang sekali melihat orang Cambodia yang obesiti.

Tepat jam 2.09 waktu Kemboja, satu mesej daripada Zakirah masuk ke peti simpanan.

“Kami xdapat terbang ke pnom penh sbb semua tiket dh hbs hingga hari jumaat. Skng tgh naik bas ke butterworth, nk ke Bangkok, pastu ambil bas ke pnom penh. Doakanlah, mudah2an selamat. J

Sungguh kuat Allah menguji sahabat-sahabat. Saya yakin, kerana mampulah Allah menguji mereka sebegitu. Kalau saya, belum tentu. Sedih tentulah sedih, apalagi yang bisa menjadi penghubung kami dengan mereka saat ini melainkan doa. Kami hanya mampu berserah kepada Allah untuk menjaga mereka.

Destinasi kami yang seterusnya ialah ke Tuol Sleng Genocide Museum di mana penjara yang dulunya bangunan sekolah ini menempatkan tahanan-tahanan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama untuk diseksa sebelum dihantar ke Cheuong Ek untuk dibunuh. Bulu roma sedikit meremang tatkala menjejakkan kaki ke bilik yang pernah suatu ketika dulu menjadi saksi kekejaman rejim Polpot. Seram sejuk juga apabila memikirkan diri berada di tempat pembunuhan mereka yang tidak berdosa. Roh-roh yang tidak tenang seakan-akan memerhatikan kami. Hati turut tersentuh melihat potret-potret tahanan yang dipamerkan dengan riak wajah yang pelbagai. Takut, marah, sedih semuanya kami lihat dengan jelas dari mata mereka. Kami tidak sanggup berlama-lama di situ. Seakan hendak mengeluarkan semula isi perut memikirkan semua itu. Di Malaysia, seharusnya bersyukur kerana peristiwa-peristiwa hitam yang berlaku tidaklah sekejam di Kemboja. Rusuhan 16 September 1969 dan Peristiwa Bukit Kepong walaupun meninggalkan bekas yang mendalam terhadap rakyat Malaysia masih tidak dapat menandingi apa yang telah dilakukan oleh rejim Polpot terhadap penduduk Cambodia. Bayangkan dalam masa tiga tahun sahaja dianggarkan seramai 20 000 orang telah menjadi mangsa kekejaman mereka termasuk kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Lebih menyanyat hati sekiranya membaca bagaimana kanak-kanak ini dibunuh dengan kepala mereka dilibas ke pokok hingga nyawa meninggalkan jasad. Tak sanggup untuk memikirkan itu semua, rasa sedih menusuk-nusuk ke hati.

Perjalanan diteruskan ke Kg Rokapopram kerana jarak perjalanan memakan masa hampir 4 jam. Kami singgah menunaikan solat jamak qasar Zuhur dan Asar di sebuah surau. Rukhsah (kelonggaran) yang diberikan untuk para musafir dalam mengerjakan solat sekali lagi menunjukkan keindahan Islam. Tidak susah untuk mencari tempat solat sebenarnya di bandar Pnom Penh ini kerana terdapat komuniti Islam di sini yang membina masjid dengan titik peluh mereka sendiri. Selesai menunaikan kewajipan kepada Rabbul Jalil, kami bergerak meninggalkan bandar Pnom Penh. Sepanjang pemerhatian, penduduk di kawasan bandar ini menjalankan perniagaan. Rumah terbina cantik dihiasi jubin yang beraneka corak dan di bahagian bawah pula ialah kedai. Hampir keseluruhannya begitu. Kedai-kedai pula menjual jubin, enjin, besi dan perkakasan rumah yang lain. Untuk kegunaan apa pun kami tidaklah begitu pasti. Ada juga yang menjual roti panjang ala-ala roti Perancis. Kecur liur juga melihat roti-roti itu tetapi segera dimatikan keinginan tersebut bila memikirkan tahap kebersihannya yang mungkin dihinggapi debu jalanan setiap kali kenderaan melintas. Sungguh! Keadaan jalan di sini sungguh berdebu. Terjawab persoalan kami akhirnya mengapa kebanyakan penduduk di sini mengenakan topeng muka. Rupa-rupanya mengelak debu hinggap di muka. Tetapi makanan dibiarkan pula terbuka.

Kami dibawa melintasi Tasik Tonle Sap yang terkenal suatu ketika dahulu sebagai punca utama pengairan. Ala-ala imbasan subjek Geografi pula saat itu. Semua ilmu-ilmu yang telah dipelajari tentang kerajaan Angkor suatu ketika dahulu dikongsi bersama. Ada berguna juga topik ini dimasukkan ke dalam silibus. Pemandangan di sepanjang berselang seli dengan pekan dan perkampungan. Rumah penduduk di kawasan kampung dibina daripada kayu dengan sokongan tiang yang tinggi di dalam paya. Terdapat jambatan kecil yang menghubungkan rumah dan jalan raya. Keadaan rumah kecil yang begitu daif meruntun perasaan. Ada rumah yang seolah-olah hampir runtuh namun masih lagi mampu menampung penghuni di dalamnya. Anak-anak kecil bermain pasir dan tanah di luar rumah tanpa seurat benang adalah pemandangan biasa di sepanjang perjalanan. Terasa diri sangat beruntung dilahirkan dalam keadaan serba mencukupi. Biarpun tidaklah semewah mana akan tetapi jauh lebih sempurna daripada mereka yang berada di sini. Bersyukurlah di saat kita merasakan tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki, ada yang tidak ada apa-apa untuk dipunyai.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan mu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat." (Ibrahim:7)

Kami turut merasa melalui jalan kampung yang tidak rata lagi berdebu. Jalan kampungnya bukan jalan biasa, tetapi luas. Lori dan bas berebut-rebut untuk memotong. Pemandangan di sepanjang perjalanan membawa diri seakan terbang ke kampung halaman sendiri. Sawah padi yang menghijau benar-benar menggamit sukma. Subhanallah.

Kami singgah sebentar di sebuah pekan kecil untuk membeli barang-barang mandian sambil meregang-regangkan urat badan yang kian bersimpul dek terlalu lama duduk. Perjalanan ke Kg Rokapopram terasa sungguh-sungguh jauh. Matahari kian meninggalkan ufuk barat. Di sini, malamnya lebih cepat. Oh ya, terlupa hendak saya maklumkan, waktu di sini adalah satu jam lebih lambat di Malaysia. Pukul 5 petang, teja sudah bertamu di kaki langit tanda hampir senja. Bagi mengisi masa senggang yang ada, bacaan Mathurat kami lantunkan. Niat diperbetulkan semula, bukan untuk bersuka ria, jadi jangan sesekali melupakan Dia. Sebaik memasuki sempadan Kg Champ, hari sudahpun gelap walhal jam baru menunjukkan pukul 6 petang. Kawasan perumahan gelap tanpa simbahan lampu. Kenderaan di jalan pun mulai berkurangan. Cuma beberapa rumah sedikit cerah itupun memasang lampu mentol. Seperti yang diberitahu Ustaz Ahmad sebelum ini, pada sebelah malam mereka tiada elektrik, jikalau ada sekalipun menggunakan khidmat generator. Di zaman serba canggih inipun rupa-rupanya masih ada yang hidup dalam kegelapan. Itu jauh lebih baik daripada mereka yg mendapat ‘cahaya’ daripada Allah tetapi sengaja mencampakkan diri mereka ke dalam ‘kegelapan’.

***

Dari Melaka ke negeri Pahang
Singgah di Johor beli berangan
Kami ucapkan selamat datang
Apa yang kurang dicaci jangan

Kg Rokapopram menyambut kami dalam kepekatan malam. Penduduk kampung sedia menunggu kami di Madrasah Nikmah. Bukan seorang, bukan dua, tetapi ramai. Anak-anak kecil, yang tua dan yang muda semua turut serta. Terasa hilang lenguh dan penat tatkala dihadiahi senyuman mereka. Kami bersalam-salaman. Terasa mengalir satu gelombang berbentuk perasaan yang sukar dimanifestasikan dengan kata-kata. Apa yang pasti kehadiran kami benar-benar diraikan. Allahuakbar. Yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu datang menghulur sapa. Yang lainnya sekadar tersengih mesra terkandung makna. Tempat penginapan kami jauh lebih selesa daripada apa yang kami bayangkan. Bilik yang banyak (sehingga mampu dijadikan operation room), dilengkapi lampu dan berlantaikan jubin. Yang pasti tidur kami tidak akan berbantalkan lengan.

Kami kemudiannya dijamu makan malam. Nasi putih, ayam masak madu, ulam-ulaman ternyata membangkitkan selera. Harus dipuji, masakan mereka walaupun terdapat sedikit persamaan dari tekstur warna tetapi berbeza dari struktur rasanya yang ternyata lebih unik. Makan sudah, kini tiba masanya untuk merehatkan tubuh badan yang sudah kuat bekerja sejak semalam. Tidur dan merehatkan badan merupakan satu tuntutan di dalam Islam sebagaimana yang diceritakan di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim;

Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: “Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah tidur.

Jadi, jangan sesekali melupakan hak kepada badan sekalipun kita bersemangat untuk bekerja kerana ia ibarat kereta sekiranya digunakan tanpa henti, kelak akan rosak juga.

Air dengan kadar mencukupi untuk kami membersihkan diri bagi mengadapNya. Tandas dan tempat mandi disediakan dengan begitu baik hingga kami terlupa sebentar yang penduduk di sini mempunyai krisis air. Inilah bukti layanan mesra mereka terhadap kami. Kebajikan kami benar-benar dijaga. Di bawah sinaran lampu kalimantang, kami bermusyawarah menentukan perjalanan esok hari dalam keadaan mata yang benar-benar berat untuk dicelikkan lagi. Program akan tetap diteruskan biarpun Ustaz Z dan yang lain tidak sampai. Doa kami cuma dua, semoga sahabat-sahabat di Malaysia akan menyertai kami di sini dan semoga Allah mempermudahkan segala urusan kami di sini. Amin.

Malam pertama kami di bumi Kemboja berlalu bersama mimpi. Apa yang menanti esok hanya Allah yang mengetahui.

bersambung...