Salam alaik
Alhamdulillah
Sudah setahun tulisan ini saya 'peram' dan tiba masanya untuk saya sajikan 'hidangan' ini buat tatapan sahabat2. Maaf sedikit panjang, ayat pun skema barangkali (yalah, menulis travelogkan)
Oh, ya! Gambar2 di entry lain ya!
Selamat membaca!
Mula
[29.10.12/07:35]
~Kisah Aku, Mereka dan Kita~
Sebuah catatan kembara dari
pandang sisi seorang bakal guru
BAHAGIAN
1
“Kami
dan backpacking.”
Mengembara telah menjadi
kegilaan saya buat sekian lamanya. Biarpun tidak pernah berpeluang mengembara
ke luar negara, akan tetapi peluang-peluang mengembara di tanah tumpah darah sendiri
sudah cukup memberi makna. Atas sebab itu, apabila tawaran kembara ke Kemboja
ini datang, saya tidak lagi ragu-ragu untuk mengatakan “YA”. Saya sukakan
cabaran, saya sukakan pengalaman. Kerana itulah yang banyak mendewasakan saya
selama ini, kerana itulah yang banyak memberi erti hidup. Sungguh, Allah tidak
menciptakan kita sia-sia. Alhamdulillah, di dalam perjalanan hidup ini, Allah
ciptakan ukhwah bersama-sama sahabat yang berkongsi cinta dan cita yang sama.
Oleh
itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan
melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati
yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka
dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya
bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada
di dalam dada. (al-Hajj: 46)
***
“Action
speaks louder than words.”
Perbualan dengan seorang teman
sebelum beliau berangkat ke Acheh bersama sahabat-sahabat yang lain menjadi
permulaan kisah pengembaraan ini. Saat dan ketika itu, apa yang terlintas di
fikiran saya ialah, “Macam mana aku boleh tak tahu ada program ni?” Rugi.
Sungguh-sungguh rugi terlepas peluang keemasan sebegini kerana sememangnya
sejak dulu saya berkeinginan untuk mengikuti misi kemanusiaan. Sejak cita-cita
untuk bergelar doktor tidak kesampaian, impian ini sudah saya simpan kejap-kejap
dalam lipatan kenangan. Rupanya, nikmat Allah tu sangat luas. Begitu banyak
jalan terbentang untuk berbuat kebaikan.
Teringat perbualan
kami dengan murabbi kami, Tuan Haji Zakaria Nasirudin atau mesra disapa Ustaz
Z, “Ustaz, jom nanti kita buat program kat tempat lain pulak.” Ustaz Z yang
sentiasa tenang menjawab, “OK. Boleh, tak dak masalah. Tapi saya tak mau
cakap-cakap saja, kali ni saya nak tengok kamu pulak yang uruskan.” Tanpa kami
sedari, perbualan yang amat ringkas itulah menjadi pemula kepada kembara ini.
***
“Kejayaan
itu dicipta oleh orang biasa yang berusaha secara luar biasa~Anynomous”
“Program ini bukan program biasa.”
Itulah yang kami sering diingatkan. Kami ke sana bukan untuk makan angin apatah
lagi bercuti-cuti Malaysia. Jika diberi pilihan sudah tentu kami lebih rela
berkurung di dalam bilik dan mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi
peperiksaan akhir sehari selepas pulang dari misi ini berbanding ‘misi’
menghabiskan duit di Kemboja yang pada kebanyakan orang negara kelas ketiga
yang tak punya apa-apa. Mengembara ke kota cinta Perancis tentu jauh lebih
mengujakan. Akan tetapi, ada perkara lain yang menjadikan program ini bukan
program biasa-biasa, hingga kami membuang segala pandangan negatif itu jauh-jauh,
hingga menjadikan kami lupa seketika pada peperiksaan. Membaca pada nama misi
sudah cukup menjelaskan maksud dan tujuan kami ke sana. “PROGRAM KORBAN/AQIQAH
DAN KHIDMAT MASYARAKAT BERSAMAMU KEMBOJA”. Bukan setakat mengerjakan ibadah
korban di sana, beberapa program lain turut dirangka bilamana kertas kerja
pelaksanaan program ini dihantar kepada pihak atasan termasuklah khidmat
masyarakat (mewakafkan pam air dan al-Quran bahasa Champ, gotong royong,
sukaneka dan kesedaran pendidikan). Sebaik sahaja kertas kerja diluluskan, pamplet-pamplet
mengiklankan sumbangan dan penyertaan korban mula diedarkan kepada warga
institut dan orang awam. Alhamdulillah, respon yang diterima cukup
memberangsangkan. Ada yang menginfakkan harta untuk sembelihan korban dan ada
juga untuk pembinaan pam air yang menelan belanja hampir RM700 untuk setiap
satunya. Inilah tanda persaudaraan sesama Islam yang merentas bangsa dan
negara.
Sebenarnya
orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat. (al-Hujurat:10)
Tidak cukup dengan
itu, ada yang bergerak mencari sponsor daripada pihak luar berupa telekung,
kain pelikat, dan beberapa barangan lain untuk diwakafkan kepada penduduk di
sana. Demi misi ini, rela kami tebalkan muka. Apalah ertinya sedikit rasa malu
itu berbanding ganjaran pahala dan keredhaan Allah yang menanti kelak.
***
“Wahai
orang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan
kamu daripada azab yang pedih. Kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad
di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika
kamu mengetahui.” (as-Saff:10-11).
Cerita kurma dan ais kacang
kemboja….
Perjalanan yang jauh ini tentunya
menuntut perbelanjaan yang besar. Di bawah bimbingan Ustaz Z, kami diajar
bagaimana mendapatkan dana bagi membiayai program kami ini. Bermula dengan
bergerak dari jabatan ke jabatan untuk menjual kurma kepada pensyarah-pensyarah
sehinggalah membuka gerai jualan ais kacang kemboja (Teik Sedait Khmer) resipi
ciptaan kami sendiri sempena Festival Ukhwah anjuran Biro Kerohanian dan Moral.
Ada juga sahabat-sahabat yang membuat dan menjual kuih raya, menjual tudung dan
wang hasil jualan itu diinfakkan pula untuk program ini. Subhanallah! Hebatnya
pengorbanan sahabat-sahabat. Teringat pula saya pada kisah sahabat Rasulullah
S.A.W., Saidina Abdul Rahman bin Auf yang rela menginfakkan harta kekayaannya
demi hijrah.
Bandingan
(derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama
seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai
itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan
pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat)
kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. (al-Baqarah:261)
Walaupun hasilnya tidaklah
begitu lumayan, tetapi sedikit sebanyak berguna untuk menampung sedikit
daripada kos perjalanan dan makan minum kami di sana.
***
Seri
murni hiasan tamu,
Indah
mekar tepian muara;
Hari
ini kami bertemu,
Moga
kekal menjalin mesra.
Pertemuan demi pertemuan menjadi
rutin biasa bagi kami demi memastikan kelancaran program yang julung-julung
kali diadakan ini. Tugasan dibahagikan bagi memudahkan pelaksanaan gerak kerja
dan mewujudkan rasa kebersamaan terhadap program ini. Begitu juga
pensyarah-penyarah dan kakitangan yang terlibat, tugasan ini tidak diserahkan
kepada kami bulat-bulat sebaliknya bimbingan turut mengiringi.
Tanggal 1 Ogos 2012 merupakan
pertemuan pertama kami Ustaz Ahmad selaku wakil daripada Kg Rokapopram. Dengan
ustaz lah kami banyak berhubung (Ustaz Ahmad mampu bertutur dalam bahasa
Melayu). Dan pada hari berkenaan, kami telah menyampaikan separuh daripada
sumbangan untuk pembinaan pam air di sana. Kesempatan yang ada turut kami
manfaatkan untuk mendapatkan sedikit ‘overview’ tentang kehidupan masyarakat di
sana supaya tidaklah terkena ‘cultural shock’ sebaik tiba di Kg Rokapopram
nanti.
Perbincangan dan
pemberitahuan turut mengambil tempat di alam maya menggantikan pertemuan muka.
FB group menjadi saksi pertemuan kami dalam menyelaraskan gerak kerja. Inilah
buktinya, Islam itu tidak jumud, tidak sesekali menentang kemodenan. Teknologi
sekiranya digunakan pada jalan yang betul akan memanfaatkan manusia dengan
sebanyak-banyak.
_________________________________________________
BAHAGIAN
2
Hari dinanti telahpun tiba…
Kami seramai 35 orang yang
diketuai oleh Ustaz Z bergerak meninggalkan kampus lebih kurang jam 12.30 malam
menaiki bas baru institut menuju ke Low Cost Carrier Terminal (LCCT). LCCT
menyambut kami pada pukul 4.30 pagi. Itulah pertama kali saya sampai di LCCT.
Suasana di LCCT jauh lebih meriah berbanding KLIA (mungkin kerana perkhidmatan
tambang murah yang disediakan di sini menjadikan LCCT tempat tumpuan orang
ramai terutama untuk destinasi jarak dekat). Akan tetapi sekiranya ingin
dibandingkan antara kedua-duanya, tentulah KLIA lebih eksklusif dengan gelaran lapangan
terbang antarabangsa yang dimilikinya. Selesai menurunkan beg dan kotak-kotak
berisi barangan (bola, jam dinding, alat tulis, buku, dll) untuk khidmat
masyarakat (barangan ini kelak akan diwakafkan kepada penduduk di sana), kami
memasuki Balai Pelepasan Antarabangsa untuk melalui prosedur-prosedur biasa
menaiki kapal terbang seperti luggage checking in, immigration checking, dan
lain-lain. Perasaan teruja tidak dapat digambarkan dengan kata-kata lagi
melainkan terukir pada wajah setiap dari kami. Iyalah, ada di antara kami
termasuk saya sendiri, inilah kali pertama ke luar negara dan kali pertama juga
menaiki kapal terbang. Proses menunggu untuk checking in mengambil masa agak
lama sedangkan kami tiba lebih awal. Alhamdulillah, urusan checking in berjalan
dengan lancar. Begitu juga urusan pemeriksaan pasport.
Mehnah pertama dalam
kembara bermula saat check in baggage bermula. Ada hand luggage peserta yang
tidak dapat dibawa masuk ke dalam pesawat kerana saiz yang tidak muat untuk
diletakkan di dalam kabin. Luggage tersebut terpaksa dipunggah semula dan
dimuatkan ke dalam beg yang lebih kecil. Berlaku sedikit kegelutan pada saat
itu namun berjaya diselesaikan dengan bantuan beberapa orang peserta yang
pernah menuntut di United Kingdom yang tentunya terbiasa dengan situasi-situasi
sebegini. Masa juga sedikit terbuang di situ dan masa hampir melewati boarding
time. Kami berlari-lari ke gate saat menyedari masa gate ditutup sangat-sangat
menghampiri sedangkan pada ketika itu, kami belumpun menunaikan kewajipan pada
Sang Pencipta. Alhamdulillah, saya dan sahabat-sahabat sempat meloloskan diri
ke dalam perut kapal terbang. Bagasi disumbat ke perut kabin. Tempat diambil.
Perasaan teruja tadi sedikit demi sedikit ditukar dengan ketenangan. Berhampiran
kami duduk beberapa kakitangan dan peserta dari EZQurban. Mereka ramah melayan
pertanyaan demi pertanyaan kami yang pertama kali ke Kemboja. Dalam pada itu,
kewajipan pada Sang Pemilik Alam tidak kami lupakan. Disebabkan tidak lagi
dapat bergerak untuk ke tandas, kami sekadar solat hormat waktu di tempat duduk
masing-masing. Namun begitu, solat ini wajib diqada’ semula nanti memandangkan
ia tidak dikerjakan dalam keadaan yang sempurna. Indahnya Islam yang sentiasa
memudahkan umatnya. Tidak kira pada waktu dan keadaannya, solat tetap wajib
ditunaikan kerana kelak itulah perkara pertama yang akan ditanya.
Dari
Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah suka (redha)
supaya rukhsah-rukhsah yang diberikannya diamalkan sebagaimana ia tidak suka
perkara-perkara maksiat dilakukan.”(Ahmad)
***
“The difference between school and life?
In school, you're taught a lesson and then given a test. In life, you're given
a test that teaches you a lesson.”~Tom Bodett
Tidak lama selepas itu, saya
menerima mesej yang mencuri ketenangan kami serta merta.
“Ustz+shbt2
yg len 11 org stuck. Dpa suh doakan.”
“Kat
mana?”
“Dpa
dpn gate. 13 org. Ustz+din+zakirah+dll.”
Penaka dada dihempap batu besar
saat menerima berita itu. Allah menimpakan ujian sekali lagi. Hanya Allah yang
mengetahui perasaan cemas berbaur takut dalam hati setiap daripada kami ketika
itu. Ummi Syafiqah selaku Timbalan Pengarah sudah terduduk tidak tahu berbuat
apa lagi setelah mesej seterusnya menyusul.
“Kami
terlepas kapal terbang. L
Ada 13 org yg tertinggal sbb p solat subuh. InsyaAllah, pkul 3 ptg ni baru kami
trbang. Tapi kena tmbh ongkos lg. Doakan kami shbt2, mudah2an dipemudahkan. J”
Allah. Saat itu
kegembiraan bagaikan lenyap dibawa terbang dek burung-burung di awanan. Tinggal
kami 22 orang sahaja di dalam pesawat termasuk zaujah Ustaz Z, seorang
pensyarah wanita dan seorang kakitangan wanita. Selebihnya adalah kami yang
tidak tahu apa-apa tentang Kemboja ini! Apalagi yang mampu kami perbuat saat
tayar kapal terbang tidak lagi mencecah bumi, sudah mahu berpatah balik pun
sudah tidak boleh lagi. Perjalanan mesti diteruskan. Sepanjang pesawat AK 1476
membelah awan, hati tidak putus-putus berdoa agar sahabat-sahabat dan
pensyarah-pensyarah yang terkandas akan segera tiba di Pnom Penh sama ada
melalui jalan udara mahupun jalan darat. Mesej masih terus menghujani telefon
selular namun apakan daya, kredit sudah tidak cukup untuk membalas setiap mesej
yang masuk. Kami seakan terputus hubungan seketika. Tidak kurang juga mesej
daripada sahabat-sahabat yang tidak ikut serta menanyakan perkhabaran kami
tatkala berita ‘kekandasan’ 13 yang lain sudah tersebar dengan cepatnya.
Kami cuba berlagak
tenang meleraikan kegalauan hati. Tetapi tidak bagi Ummi Syafiqah. Saya
mengerti. Kalau saya berada di tempat Ummi Syafiqah pun tentu akan merasakan
hal yang sama. Masakan tidak, ibarat patah sebelah kaki tatkala menerima
perkhabaran Ustaz Z dan Neruddin Pengarah Program tidak lagi bersama kami di
dalam pesawat! Kebarangkalian untuk tiket ke Pnom Penh ada pada hari yang sama
amat tipis sekali. Kami pasrah saat itu andai ditakdirkan 13 yang lain itu
tidak sampai-sampai ke bumi Kemboja. Walau apapun yang berlaku, misi tetap
perlu diteruskan. Itu tekad kami!
***
“Maka
yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”
(ar-Rahman:18)
Satu perasaan yang tidak dapat
diungkapkan dengan kata-kata tatkala melihat kepulan awan seperti gula-gula
kapas. Kamera pantas sahaja diangkat dan gambar-gambar awan yang terlalu indah
pada pandangan mata sudah siap dirakam lensa. Tidak memerlukan DSLR yang mahal,
apatah lagi melaraskan aperture mahupun shutter speed, ‘lukisan semula jadi’
Allah sudah cukup-cukup cantik. Subhanallah, maha suci Allah yang menciptakan
langit dan bumi.
Perjalanan ke Kemboja
memakan masa hampir satu jam. Jauh lebih cepat dari KL ke Sabah. Alhamdulillah,
sepanjang penerbangan tidaklah didatangi rasa loya dan bengang telinga. Cuma
gayat datang sesekali. Sempat juga melelapkan mata saat kebosanan mula menyapa.
9.22 pagi waktu Malaysia.
Seakan tidak percaya kami telahpun berpijak di bumi Kemboja. Seakan tidak
percaya juga 13 yang lain yang sepatutnya berada bersama kami di sini masih
berada di Malaysia. Yang pasti nasib mereka tidak diketahui.
Lapangan terbang Pnom
Penh tidaklah segah KLIA, tidaklah sesesak LCCT tetapi boleh dianggap bertaraf tinggi.
Masa terbuang sekali lagi di bahagian checking in ini. Berperang pula dengan
backpack yang berat dan hand luggage yang bukan satu. Selesai prosedur checking
in dan segala bagai, kami ke ruang tuntutan bagasi pula. Nah, kali ini beberapa
kotak berisi barang penting pula tidak ditemui! Teka teki berlegar di minda
kami tentang misteri ‘kehilangan’ kotak-kotak tersebut. Setelah berunding
dengan pegawai yang berkenaan, kotak-kotak tersebut dikenalpasti tidak sampai
bersama kami di kemboja kerana kotak tersebut didaftarkan di atas nama perserta
yang tertinggal di Malaysia. Satu pengajaran buat kami, pentingnya untuk
menyediakan senarai semak barang dan tugasan supaya apabila berlaku lagi
situasi sebegini tidaklah semua seperti kucing hilang anak. Apa-apapun yang
tertinggal di Malaysia sudah tidak penting lagi buat masa ini. Yang akan
berlaku esok dan seterusnya itulah yang perlu diberi lebih perhatian. Ustaz
Ahmad sedia menunggu kami di pintu masuk sebaik sahaja kami keluar. Terasa
sedikit lega melihat Ustaz Ahmad. Kepada Ustaz Ahmad kami khabarkan apa yang
telah berlaku.
***
Kemboja, here we come!!!
Seterusnya kami menaiki bas yang
telah disewa menuju ke Bandar Pnom Penh. Pnom Penh, ibu negara Cambodia yang
tidaklah segah kota metropolitan Kuala Lumpur. Ibarat pekan satelit yang sedang
membangun, jalan rayanya dipenuhi kereta dan motor yang berasak-asak. Apa yang
menarik di sini, motosikal boleh dibonceng melebihi dua orang dan pembonceng di
belakang tidak diwajibkan memakai topi keledar. Memotong dan mencilok sana sini
adalah perkara biasa. Hon pasti kedengaran setiap kali ada kenderaan yang ingin
memotong dari belakang kerana kebanyakan motosikal tidak dilengkapi cermin pandang
sisi. Namun begitu, sepanjang perjalanan di sana, tidak pula kami bertembung
dengan mana-mana kemalangan. Rakyat di sini kami lihat lebih berhemah di jalan
raya (sekalipun tidak memakai topi keledar) kerana mereka tidak memandu atau
menunggang dengan laju dan juga tiada kedengaran maki hamun sekiranya hampir
berlanggaran antara satu sama lain. Berada di dalam kesesakan lalu lintas tidak
sedikitpun dihujani rasa stress cuma sesekali bunyi hon bertalu-talu sedikit
bingit di pendengaran. Dalam tidak tahu ke mana arah tuju seterusnya, sempat
kami mengalunkan qasidah diiringi paluan kompang dan gemerincing tamborin. Ini
sebagai latihan kepada persembahan kami untuk masyarakat di Kg Rokapopram
nanti. “Selawat Tobibiyah dan Solatun Bissalamil Mubin” beralun merdu di dalam
bas sebagai tanda cinta dan ingatan kepada kekasih Allah tak kira di mana
berada.
Memandangkan perut
sudah meronta-ronta minta diisi, kami terlebih dahulu singgah di sebuah
Restoran Makanan Thai. Kami dihidangkan dengan nasi putih, tomyam dan sup ayam.
Pertama kali juga di sini kami menikmati teh bunga jasmin tanpa gula! Sungguh
aneh apabila memikirkan di Malaysia, sekalipun harga gula seringkali naik,
makanan tidak pernah ketandusan gula. Bahkan semakin bertambah pula penghidap
kencing manis dari hari ke hari. Nasinya sedikit kenyal seakan-akan dicampur
pulut. Dan air batunya boleh tahan besar juga, kalau terlekat boleh jadi arwah
serta merta. Alhamdulillah, perut dan tekak tidak berhadapan masalah
beradaptasi dengan makanan di sana kerana rasa makanannya hampir sama dengan
masakan Thai di Malaysia. Usai makan, kami dibawa melawat ke Cheuong Ek
Genocidal Centre. Di sini kesan kekejaman rejim Polpot dipamerkan. Sungguh
syahdu membaca kisah-kisah pembunuhan kejam tanpa rasa kemanusiaan oleh rejim Polpot.
Di sini turut terdapat muzium kecil yang mempamerkan barang-barang tinggalan
seperti baju dan lain-lain.
Kami kemudiannya di berpatah
balik ke restoran tadi untuk makan tengah hari pula. Barangkali di Pnom Penh
ini, restoran ini sahaja yang diyakini ke’halalan toyyiban’nya. Kali ini nasi
putih dan sup ikan menjadi santapan kami. Rasa teh bunga telah ditambahbaikan
dengan sedikit gula. Terasa menikmati diet yang sihat kerana masakan kurang
minyak dan air pula kurang gula. Mungkin disebabkan itulah jarang sekali
melihat orang Cambodia yang obesiti.
Tepat jam 2.09 waktu
Kemboja, satu mesej daripada Zakirah masuk ke peti simpanan.
“Kami
xdapat terbang ke pnom penh sbb semua tiket dh hbs hingga hari jumaat. Skng tgh
naik bas ke butterworth, nk ke Bangkok, pastu ambil bas ke pnom penh.
Doakanlah, mudah2an selamat. J”
Sungguh kuat Allah menguji
sahabat-sahabat. Saya yakin, kerana mampulah Allah menguji mereka sebegitu.
Kalau saya, belum tentu. Sedih tentulah sedih, apalagi yang bisa menjadi
penghubung kami dengan mereka saat ini melainkan doa. Kami hanya mampu berserah
kepada Allah untuk menjaga mereka.
Destinasi kami yang
seterusnya ialah ke Tuol Sleng Genocide Museum di mana penjara yang dulunya
bangunan sekolah ini menempatkan tahanan-tahanan yang terdiri daripada pelbagai
bangsa dan agama untuk diseksa sebelum dihantar ke Cheuong Ek untuk dibunuh.
Bulu roma sedikit meremang tatkala menjejakkan kaki ke bilik yang pernah suatu
ketika dulu menjadi saksi kekejaman rejim Polpot. Seram sejuk juga apabila
memikirkan diri berada di tempat pembunuhan mereka yang tidak berdosa. Roh-roh
yang tidak tenang seakan-akan memerhatikan kami. Hati turut tersentuh melihat
potret-potret tahanan yang dipamerkan dengan riak wajah yang pelbagai. Takut,
marah, sedih semuanya kami lihat dengan jelas dari mata mereka. Kami tidak
sanggup berlama-lama di situ. Seakan hendak mengeluarkan semula isi perut
memikirkan semua itu. Di Malaysia, seharusnya bersyukur kerana peristiwa-peristiwa
hitam yang berlaku tidaklah sekejam di Kemboja. Rusuhan 16 September 1969 dan
Peristiwa Bukit Kepong walaupun meninggalkan bekas yang mendalam terhadap
rakyat Malaysia masih tidak dapat menandingi apa yang telah dilakukan oleh
rejim Polpot terhadap penduduk Cambodia. Bayangkan dalam masa tiga tahun sahaja
dianggarkan seramai 20 000 orang telah menjadi mangsa kekejaman mereka termasuk
kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Lebih menyanyat hati sekiranya membaca
bagaimana kanak-kanak ini dibunuh dengan kepala mereka dilibas ke pokok hingga
nyawa meninggalkan jasad. Tak sanggup untuk memikirkan itu semua, rasa sedih
menusuk-nusuk ke hati.
Perjalanan diteruskan
ke Kg Rokapopram kerana jarak perjalanan memakan masa hampir 4 jam. Kami singgah
menunaikan solat jamak qasar Zuhur dan Asar di sebuah surau. Rukhsah
(kelonggaran) yang diberikan untuk para musafir dalam mengerjakan solat sekali
lagi menunjukkan keindahan Islam. Tidak susah untuk mencari tempat solat
sebenarnya di bandar Pnom Penh ini kerana terdapat komuniti Islam di sini yang
membina masjid dengan titik peluh mereka sendiri. Selesai menunaikan kewajipan
kepada Rabbul Jalil, kami bergerak meninggalkan bandar Pnom Penh. Sepanjang
pemerhatian, penduduk di kawasan bandar ini menjalankan perniagaan. Rumah
terbina cantik dihiasi jubin yang beraneka corak dan di bahagian bawah pula
ialah kedai. Hampir keseluruhannya begitu. Kedai-kedai pula menjual jubin,
enjin, besi dan perkakasan rumah yang lain. Untuk kegunaan apa pun kami
tidaklah begitu pasti. Ada juga yang menjual roti panjang ala-ala roti
Perancis. Kecur liur juga melihat roti-roti itu tetapi segera dimatikan
keinginan tersebut bila memikirkan tahap kebersihannya yang mungkin dihinggapi
debu jalanan setiap kali kenderaan melintas. Sungguh! Keadaan jalan di sini
sungguh berdebu. Terjawab persoalan kami akhirnya mengapa kebanyakan penduduk
di sini mengenakan topeng muka. Rupa-rupanya mengelak debu hinggap di muka.
Tetapi makanan dibiarkan pula terbuka.
Kami dibawa melintasi
Tasik Tonle Sap yang terkenal suatu ketika dahulu sebagai punca utama pengairan.
Ala-ala imbasan subjek Geografi pula saat itu. Semua ilmu-ilmu yang telah
dipelajari tentang kerajaan Angkor suatu ketika dahulu dikongsi bersama. Ada
berguna juga topik ini dimasukkan ke dalam silibus. Pemandangan di sepanjang
berselang seli dengan pekan dan perkampungan. Rumah penduduk di kawasan kampung
dibina daripada kayu dengan sokongan tiang yang tinggi di dalam paya. Terdapat
jambatan kecil yang menghubungkan rumah dan jalan raya. Keadaan rumah kecil yang
begitu daif meruntun perasaan. Ada rumah yang seolah-olah hampir runtuh namun
masih lagi mampu menampung penghuni di dalamnya. Anak-anak kecil bermain pasir
dan tanah di luar rumah tanpa seurat benang adalah pemandangan biasa di sepanjang
perjalanan. Terasa diri sangat beruntung dilahirkan dalam keadaan serba
mencukupi. Biarpun tidaklah semewah mana akan tetapi jauh lebih sempurna
daripada mereka yang berada di sini. Bersyukurlah di saat kita merasakan tidak
berpuas hati dengan apa yang kita miliki, ada yang tidak ada apa-apa untuk
dipunyai.
"Dan
(ingatlah) ketika Tuhan mu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari
(nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat." (Ibrahim:7)
Kami turut merasa
melalui jalan kampung yang tidak rata lagi berdebu. Jalan kampungnya bukan
jalan biasa, tetapi luas. Lori dan bas berebut-rebut untuk memotong.
Pemandangan di sepanjang perjalanan membawa diri seakan terbang ke kampung halaman
sendiri. Sawah padi yang menghijau benar-benar menggamit sukma. Subhanallah.
Kami singgah sebentar
di sebuah pekan kecil untuk membeli barang-barang mandian sambil
meregang-regangkan urat badan yang kian bersimpul dek terlalu lama duduk.
Perjalanan ke Kg Rokapopram terasa sungguh-sungguh jauh. Matahari kian
meninggalkan ufuk barat. Di sini, malamnya lebih cepat. Oh ya, terlupa hendak
saya maklumkan, waktu di sini adalah satu jam lebih lambat di Malaysia. Pukul 5
petang, teja sudah bertamu di kaki langit tanda hampir senja. Bagi mengisi masa
senggang yang ada, bacaan Mathurat kami lantunkan. Niat diperbetulkan semula,
bukan untuk bersuka ria, jadi jangan sesekali melupakan Dia. Sebaik memasuki
sempadan Kg Champ, hari sudahpun gelap walhal jam baru menunjukkan pukul 6
petang. Kawasan perumahan gelap tanpa simbahan lampu. Kenderaan di jalan pun
mulai berkurangan. Cuma beberapa rumah sedikit cerah itupun memasang lampu
mentol. Seperti yang diberitahu Ustaz Ahmad sebelum ini, pada sebelah malam
mereka tiada elektrik, jikalau ada sekalipun menggunakan khidmat generator. Di
zaman serba canggih inipun rupa-rupanya masih ada yang hidup dalam kegelapan.
Itu jauh lebih baik daripada mereka yg mendapat ‘cahaya’ daripada Allah tetapi
sengaja mencampakkan diri mereka ke dalam ‘kegelapan’.
***
Dari
Melaka ke negeri Pahang
Singgah
di Johor beli berangan
Kami
ucapkan selamat datang
Apa
yang kurang dicaci jangan
Kg Rokapopram menyambut kami
dalam kepekatan malam. Penduduk kampung sedia menunggu kami di Madrasah Nikmah.
Bukan seorang, bukan dua, tetapi ramai. Anak-anak kecil, yang tua dan yang muda
semua turut serta. Terasa hilang lenguh dan penat tatkala dihadiahi senyuman
mereka. Kami bersalam-salaman. Terasa mengalir satu gelombang berbentuk
perasaan yang sukar dimanifestasikan dengan kata-kata. Apa yang pasti kehadiran
kami benar-benar diraikan. Allahuakbar. Yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu
datang menghulur sapa. Yang lainnya sekadar tersengih mesra terkandung makna.
Tempat penginapan kami jauh lebih selesa daripada apa yang kami bayangkan.
Bilik yang banyak (sehingga mampu dijadikan operation room), dilengkapi lampu
dan berlantaikan jubin. Yang pasti tidur kami tidak akan berbantalkan lengan.
Kami kemudiannya
dijamu makan malam. Nasi putih, ayam masak madu, ulam-ulaman ternyata
membangkitkan selera. Harus dipuji, masakan mereka walaupun terdapat sedikit
persamaan dari tekstur warna tetapi berbeza dari struktur rasanya yang ternyata
lebih unik. Makan sudah, kini tiba masanya untuk merehatkan tubuh badan yang
sudah kuat bekerja sejak semalam. Tidur dan merehatkan badan merupakan satu
tuntutan di dalam Islam sebagaimana yang diceritakan di dalam sebuah hadis
sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim;
Baginda
Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang.
Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab
agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun
terus mengeluarkan arahan: “Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara
kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah
tidur.
Jadi, jangan sesekali melupakan
hak kepada badan sekalipun kita bersemangat untuk bekerja kerana ia ibarat
kereta sekiranya digunakan tanpa henti, kelak akan rosak juga.
Air dengan kadar
mencukupi untuk kami membersihkan diri bagi mengadapNya. Tandas dan tempat
mandi disediakan dengan begitu baik hingga kami terlupa sebentar yang penduduk
di sini mempunyai krisis air. Inilah bukti layanan mesra mereka terhadap kami.
Kebajikan kami benar-benar dijaga. Di bawah sinaran lampu kalimantang, kami
bermusyawarah menentukan perjalanan esok hari dalam keadaan mata yang
benar-benar berat untuk dicelikkan lagi. Program akan tetap diteruskan biarpun
Ustaz Z dan yang lain tidak sampai. Doa kami cuma dua, semoga sahabat-sahabat
di Malaysia akan menyertai kami di sini dan semoga Allah mempermudahkan segala
urusan kami di sini. Amin.
Malam pertama kami di
bumi Kemboja berlalu bersama mimpi. Apa yang menanti esok hanya Allah yang
mengetahui.
bersambung...
0 BICARA ANDA:
Post a Comment