BAHAGIAN 3
“Life is like a
jigsaw puzzle, you have to see the whole picture, then put it together piece by
piece!”~Terry McMillan
Azan
subuh dari Masjid Nuruddin yang terletak bersebelahan Madrasah Nikmah
mengejutkan kami dari lena yang panjang. Permulaannya, kami menyangka tersalah
dengar, tetapi ternyata masa tidak akan sesekali menipu melainkan jarum jam
sudah tidak berfungsi lagi. 4.30 pagi sudah masuk waktu Subuh di Kemboja! Usai
persiapan diri dan solat Subuh, masa yang ada sebelum aktiviti seterusnya
bermula diisi dengan bacaan Mathurat dan al-Quran. Rohani juga perlu diberikan
makanan. Jiwa yang kosong tanpa pengisian akan menjauhkan diri daripada Allah
seterusnya menyebabkan diri lalai daripada mengingatinya.
Seawal 7.30 pagi, matahari sudah
setinggi galah. Sudah molek benar untuk mendapat rezeki mudah dengan kekuatan
solat dhuha. Suara memanggil untuk bersarapan bergema usai solat sunat dhuha.
Sarapan pagi kami pada hari kedua sangat mengujakan. Roti panjang ala-ala roti
Perancis yang kami lihat di kaki lima semalam! Rezeki, jika sudah Allah aturkan
untuk kita, tetap akan menjadi milik kita. Justeru, tiada istilah “rezekiku
diambil orang”. Alhamdulillah, roti panjang yang bernama ‘nompang’ itu kami
cecah dengan susu. Teringat pula roti bom di Malaysia, juga dicecah susu dan
kuah kari. Walaupun agak sedikit liat tetapi, masuk ke tekak tanpa malu-malu
juga.
***
“The world is a
book and those who do not travel read only one page.” ~Saint Augustine of Hippo
Kanak-kanak
berpakaian seragam biru sudah mula berkumpul di hadapan madrasah. Mereka
tentunya pelajar di madrasah itu. Ramai rupanya kanak-kanak di Kampung
Rokapopram ini. Satu yang saya kagumi, seawal usia lima tahun saya kira sudah
boleh diharap untuk menjaga adik. Masakan tidak, mengelek adik di pinggang
seakan perkara biasa walaupun hendak keluar bermain. Barangkali ini juga faktor
mengapa ramai gadis Kemboja berkahwin pada usia yang muda. Pada usia
kanak-kanak lain di Malaysia sedang sibuk bermain masak-masak, kanak-kanak di
sini sudahpun boleh menguruskan anak!
Tugasan pertama kami untuk hari
ini ialah mengendalikan kesedaran pendidikan dan sukaneka. Anak-anak kecil yang
bersekolah di sini kami dedahkan dengan permainan ‘jigsaw puzzle’ untuk menguji
kemahiran berfikir mereka. Mereka kelihatan begitu teruja kerana pertama kali
berpeluang menikmati aktiviti sebegini. Di Malaysia, barangkali ‘jigsaw puzzle’
tidak lagi dipandang oleh kebanyakan anak kecil dek pengaruh manga, PES dan PSP
yang kuat. Tetapi di sini, ini sudah cukup menggembirakan mereka. Dari jauh,
keriuhan suara mereka sudah dapat didengari. Matahari pukul 10 pagi sudah tegak
berdiri di atas kepala. Panas mentari menggigit-gigit kulit sekaligus
menukarkan warna kulit. Apa yang menarik, panas di sini disertai angin yang
dingin lalu tidak memberi peluang untuk tubuh menghasilkan peluh. Acara
sukaneka dibahagikan dalam bentuk stesen bagi memudahkan kami menguruskan
bilangan kanak-kanak yang terlalu ramai. Pada permulaan, sangat sukar untuk
berinteraksi dengan kanak-kanak ini kerana masalah bahasa. Ustaz-ustaz mereka
yang mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu banyak membantu kami memberi
arahan. Di sini, kebanyakan yang mampu bertutur dalam bahasa Melayu adalah
mereka yang pernah bekerja atau menuntut ilmu di Malaysia. Panas bukan lagi
menjadi penghalang kepada kanak-kanak ini untuk bergembira. Kami turut terhibur
dengan telatah mereka yang sangat comel!
Satu perkara yang saya perasan
tentang budaya ilmu di sini ialah, mereka sangat-sangat menyantuni dan
menyanjungi ilmu agama. Tak usah ditanya tentang one two three akan tetapi,
sebut sahaja alif ba ta, terpancar sinar di mata anak-anak kecil ini. Malah ada
antara mereka meluahkan hasrat untuk belajar agama di Malaysia. Anak-anak kita
di Malaysia bagaimana pula?
Tengah hari kami dijamu dengan lauk pauk berasaskan
daging. Harus diakui sekali lagi, menunya ternyata menambat selera kami. Acara
penyampaian hadiah mengambil tempat selepas itu. Kanak-kanak dan orang-orang
kampung kembali berkumpul di hadapan madrasah. Sumbangan berupa wang, kain
pelikat dan al-Quran bahasa Champ hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin
diserahkan kepada guru-guru agama yang mengajar di madrasah ini oleh mudirnya
Ustaz Ramzan. Persembahan daripada kedua-dua pihak (madrasah dan IPG)
memeriahkan lagi suasana petang itu. Ia pastinya menjadi memori yang tidak
dapat kami lupakan saat harus menambah lagi empat persembahan memandang
anak-anak kecil ini menyediakan hampir 6 persembahan untuk kami. Semuanya
secara spontan tanpa latihan yang mencukupi. Bunyi muzik bercempera namun kami
redahi juga. Lagu bulan-bulan Islam, Asma’ ul Husna, doa rabithah menjadi
penyelamat kami pada hari itu. Sungguh geli hati tatkala memikirkan kembali
rentak qasidah yang bertukar tiba-tiba. Apa yang pasti, ini semua kenangan
terindah untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Tidak disangka-sangka pula
persembahan pertama kumpulan qasidah kami adalah di Kemboja. Bertuah rasanya!
Aktiviti petang kami dipenuhi
dengan menghirup udara Kg Rokapopram. Tidak sukar untuk meminjam basikal
daripada anak-anak kecil di sini walaupun masalah komunikasi yang berlaku. Kami
pasti akan dihon dari depan mahupun belakang sedangkan sudah berada di bahu
jalan. Mana tidaknya, di sini kita akan berjalan di sebelah kanan jalan
sedangkan di Malaysia di sebelah kiri. Untuk membiasakan diri sedikit mengambil
masa. Sempat kami menziarahi beberapa rumah penduduk di sini. Satu sikap yang
harus dipuji ialah, mereka sangat-sangat meraikan tetamu. Kami dijemput masuk
tanpa segan silu biarpun rumah mereka tidaklah seberapa.
Apabila
masuk tetamu pada satu keluarga (rumah), maka dimurahkan Allah rezeki keluarga
itu, dan apabila tetamu itu keluar, maka Allah mengampuni dosa-dosa keluarga
itu. [HR. Dailami dan Anas]
Hari sudah hampir senja saat
kami pulang ke madrasah. Tiba masanya untuk mempersiapkan diri menyembah yang
Maha Esa. Solat Maghrib dan Isyak ditunaikan secara jamak. Di luar madrasah, jemaah
sudah berpusu-pusu ke Masjid Nuruddin. Motor dan basikal diparkir di bawah
pohon. Di sini, surau dan masjid sentiasa dipenuhi dengan jemaah. Takbir raya
yang berkumandang sayup-sayup selepas solat Isyak mengingaktan kami bahawa raya
Korban kami tahun ini tidak bersama-sama keluarga. Perasaan sebak yang
bertandang cuba dikawal agar air mata tidak membanjirkan Madrasah Nikmah malam
ini. Pengalaman berhari raya pertama kali tanpa keluarga di sisi tentunya tak
dapat saya lupakan. Beberapa anak kecil menjenguk kami di madrasah. Melayani
telatah mereka membuang sedikit perasaan sedih yang bertamu. Malam kami
diselimuti rasa yang pelbagai. Tak sabar rasanya untuk menjemput hari esok.
_____________________________________________________________________________________
BAHAGIAN 4
“Sesungguhnya Kami
(Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu
dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah
(binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (al-Kauthar
: ayat 1-2)
26
Oktober 2012, 10 Zulhijjah 1433H. Hari ini hari raya! Mandi sunat hari raya
kami laksanakan sebelum bertemu yang Maha Esa dalam sujud yang penuh syahdu.
Ustaz Ahmad ada memberitahu, di sini jemaah yang hadir ke masjid untuk bersolat
Subuh akan terus berada di sana sehingga solat sunat hari raya. Kami
bersiap-siap ala kadar (baju tidak bergosok) biarpun berpakaian lengkap baju
raya. Tidak seperti masyarakat di sini, tiada baju raya bagi kebanyakan dari mereka.
Wanita-wanita berumur yang kami lihat sekadar mengenakan kain batik dan baju
blouse lusuh. Di Malaysia, Tahun Baru Cina pun, orang Melayu yang terlebih
sibuknya. Tiada jemaah muslimat bersolat di sini melainkan kami sahaja. Mungkin
sudah waqi’ mereka begitu. Air mata tumpah juga usai solat sunat hari raya
Aidiladha. Kerinduan pada sanak saudara di kampung gagal dibendung lagi. Juadah
raya kami hanyalah kuih batang buruk yang dibawa dari Malaysia, air mineral dan
jajan. Sesekali merasai apa yang dirasakan oleh penduduk di sana menambahkan
lagi rasa syukur dengan apa yang kami ada. Ada seorang mak cik kemudiannya
datang membawa beberapa jenis kuih. Kuih raya barangkali. Hendak dibandingkan
dari segi tekstur warna dan struktur rasa dengan kuih raya di Malaysia tentulah
kali ini Malaysia yang menang. Ada sejenis kuih yang rasanya sama seperti kuih
bunga pudak yang terkenal di negeri kelahiran saya, Kedah.
***
Upacara
korban mengambil tempat di rumah-rumah penduduk yang terpilih lewat petang usai
solat Jumaat. Alhamdulillah, ibadat korban berjalan lancar. Moga-moga korban
yang ikhlas ini diterima oleh Allah. Perasaan yang berbaur-baur tetap tidak melupakan
kami kepada sahabat-sahabat yang sedang merentas jalan darat dari melalui
Bangkok. Di manakah mereka bersolat hari raya? Apakah juadah pagi raya mereka?
Mereka dijangkakan menyertai kami paling awal petang ini. Kami menanti mereka
penuh keterujaan. Tak sabar mahu mengetahui kisah kembara mereka di negara
Gajah Putih. Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka.
Kesempatan terakhir kami gunakan
dengan bersiar-siar mengelilingi kampung. Destinasi pilihan pada kali ini ialah
sawah bendang, sesejuk mata memandang. Beberapa potret dirakam sebagai
kenang-kenangan sepanjang hayat. Kami disapa beberapa penduduk Malaysia yang
turut mengerjakan ibadah korban di kampung berhampiran. Kesedaran untuk
membantu saudara Muslim di Kemboja kian berkembang dalam kalangan penduduk di
Malaysia secara khususnya dan penduduk Islam lain secara amnya. Setiap tahun
Kemboja tidak sunyi dari kehadiran orang Malaysia yang ‘berkorban’ di sini.
Sekiranya rasa cinta ini meresap ke seantero dunia, pasti tiada lagi kezaliman
dan kesengsaraan yang membelenggu umat Islam terutama di Palestin, Afghanistan
dan Syria. Tanggungjawab kita sesama Muslim bukan sekadar harta benda tetapi
doa itulah senjata ampuh dan perisai orang beriman.
***
“Allah Pencipta
langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan
kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia." (al-Baqarah:117)
Alunan
tola’al badru alaina menyambut kehadiran sahabat-sahabat yang ‘terkandas’.
Mereka seramai 13 orang tiba dibawa van dari sempadan Kemboja. Suasana sedih menyelubungi
kami saat itu. Rasa syukur terzahir dengan rasa sebak yang tak tertahan.
Allahuakbar, Allah Maha Besar, segala puji hanya untukNya. Kami dihimpunkan
dalam keadaan yang cukup-cukup indah. Dengan kuasa Allah, tiada yang mustahil.
Perancangan Allah itu Maha Hebat.
Kami menikmati makan malam yang
meriah dengan masing-masing sibuk bertanya hingga tak menang mulut bercerita.
Makan malam jadi luar biasa sedap pula. Malam ini merupakan malam terakhir kami
di Kg Rokapopram. Bulan purnama penuh kami tatap sepuas-puasnya seakan-akan
tiada lagi bulan esok hari!
bersambung...
bersambung...
0 BICARA ANDA:
Post a Comment