BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 15, 2011

golden dream...

Suatu ketika, saya pernah bercerita kepada sahabat tentang impian-impian yang saya pasang untuk dicapai dalam hidup ini. Antaranya saya ingin menjadi seorang penulis buku. Biarpun sekadar sebuah buku tetapi saya tetap ingin menghasilkan sebuah buku yang tercetus dari buah fikiran saya sendiri. Sebabnya menulis sudah menjadi keghairahan sekian lamanya. Keduanya, saya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Master dan PhD. Kalau boleh biarlah di luar negara sebab teringin nak merasa merantau di negara orang. Kemudian, nak berkhidmat sebagai pensyarah pula semoga dapat memberi bakti kepada bakal-bakal guru yang akan mencorakkan masa depan umat kelak. InsyaAllah. Dan satu lagi golden dream terbesar dalam hidup yang saya, yang mungkin tidak dapat dibayangkan oleh ramai orang, yang saya kira biarlah dirahsiakan buat masa ini. Hehe…

Begitulah antara impian yang saya ada untuk hidup ini yang saya gelarkankannya sebagai “golden dream”. Saya pernah ditempelak oleh beberapa orang tentang hal ini, “Gila ambitious kau ni. Bilanya kau nak kahwin?” Saya hanya mampu tersenyum. Kahwin pun sebahagian daripada golden dream juga kan! >_<

Mungkin ada yang akan berkata, “Tak payah nak berangan lebih-lebih. Angan-angan ni tak ada yang jadi kenyataan.” Itu stigma mereka yang menganggap ini sebagai anganan. Harus diingat, anganan dan impian adalah dua perkara yang berbeza!

Memasang impian itu sunnah nabi!

Lepas membaca kenyataan ini tentu ramai yang akan mula memasang impian. Mengapa saya katakan memasang impian itu juga sunnah nabi? Mari saya bawa anda menyoroti sirah Perang Khandak. Ramai yang rajin membaca sirah sedia maklum apa itu Perang Khandak. Sekadar ‘revision’, saya ceritakan secara ringkas tentang perang ini.

Perang Khandak atau dikenali juga sebagai Perang Ahzab berlaku pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah. Sebelum mencapai kejayaan, tentera Muslimin diuji dengan pelbagai cubaan dan dugaan yang sangat hebat. Dan paling sinonim dengan Perang Khandak tentulah strategi menggali parit yang digunakan oleh tentera Muslimin.

Satu perkara yang menarik ialah ketika seorang sahabat bertanya kepada baginda nabi, “Ya Rasulullah, antara Rom Timur dan Rom Barat, yang mana satukah akan dibuka dahulu?”

Nabi menjawab soalan sahabat dengan penuh keazaman dan semangat yang berkobar-kobar, “"Rom Timur (yakni Istanbul, Konstantinopel). Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin ketika itu, dan sebaik-baik tentera adalah tentera ketika itu."

Ketika perang Khandak berlaku, baginda nabi sentiasa memberikan motivasi kepada sahabat-sahabat untuk berjuang biarpun ketika itu jumlah tentera Islam sangat sedikit dan kalau diikutkan logik akal, tak terlawan dengan tentera Yahudi. Pernah satu ketika, seketul batu yang besar menghalangi parit yang sedang digali baginda nabi. Baginda mengetuk batu tersebut lalu bertakbir. Apabila ditanya oleh sahabat baginda menjawab, “Aku melihat Rom akan dibuka.” Pada takbir yang kedua baginda menyebut, “Aku melihat Parsi akan dibuka.” Dan begitulah kali ketika baginda berkata, “Aku melihat Konstantinopel akan dibuka.”

Ibrah dari peristiwa ini

1)Pemikiran dan imginasi sahabat-sahabat yang jauh ke hadapan. Kalau diikutkan secara realistiknya pada ketika itu, Makkah belum pun menerima Islam sepenuhnya inikan pula pertanyaan sahabat tentang kemenangan Rom yang masih jauh lagi untuk dicapai. Namun begitu harus dilihat pada pandangan mereka yang ‘advanced’ dan ‘ambitious’ dalam matlamat perjuangan Islam dan keyakinan mereka terhadap kemenangan Islam pada akhirnya.

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (48:4)

Dan Rasulullah sendiri menjawab dengan penuh semangat tanpa sedikitpun memperlekehkan pertanyaan sahabat.

2) Rasulullah turut mempunyai impian dan imaginasi yang besar untuk melihat kemenangan Islam. Rasulullah begitu positif bahawa Islam akan menakluki Rom Timur walhal Islam di Makkah belumpun menang pada ketika itu. Sikap Rasulullah ini turut mempengaruhi semangat juang yang ditunjukkan oleh para sahabat. Nah, akhirnya tentera Islam berjaya dalam Perang Khandak!

Kesimpulannya…

Tidak salah untuk memasang impian. Impian akan menjadi ‘catalyst’ untuk kita bersungguh-sungguh mencapai apa yang diingini. Tapi ingat, jangan sampai impian menjadi anganan. Beza impian dan anganan itu terletak pada USAHA yang diberikan terhadap keinginan itu.

Rasulullah juga memasang impian dan punya golden dream. Terbukti kan memasang impian juga sunnah nabi? Jadi, jangan takut untuk memasang impian dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. Jangan sesekali berputus asa bilamana ada suara-suara yang memperlekehkan cita-cita kita. Ya cita-cita kita tak sama!

Footnote: semoga Allah mempermudahkan usaha untuk saya mencapai impian. :)
p/s: gambar di atas sekadar hiasan...rumah idamanku...

0 BICARA ANDA: