BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, January 24, 2010

~Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris~

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna Kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan dipertingkatkan dengan beberapa langkah menambahbaik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan adalah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Kenyataan ini telah disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika membuat pengumuman mengenai strategi “Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” (MBMMBI) baru-baru ini.
Ini termasuklah menambah bilangan guru bahasa Inggeris, menambah waktu belajar bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan, memperkenalkan program sastera kontemporari kanak-kanak untuk mengukuhkan asas penguasaan bahasa Inggeris di peringkat umur yang awal, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, menekankan komponen tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.
Pihak Kementerian juga telah bersetuju untuk mewujudkan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Inggeris khusus untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Kementerian juga secara dasarnya telah bersetuju untuk menempatkan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Insentif khusus akan diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Jawatan pembantu guru bahasa Inggeris juga akan diwujudkan bagi kelas besar, seperti kelas yang melebihi 35 orang murid, untuk meningkatkan “contact-time” antara guru dan murid. Dengan mewujudkan jawatan guru pembantu bahasa Inggeris ini, tumpuan yang lebih boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris. Mereka ini boleh dibimbing secara lebih dekat untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.
Dengan melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, disertai dengan komitmen para guru untuk menggunakan kaedah terbaik dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Kerajaan menaruh keyakinan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita akan meningkat. Untuk mencapai matlamat ini, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan. Kita sesungguhnya tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai matlamat penting ini. Keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik.
Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia di kalangan pelajar melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi kesusasteraan Melayu bagi pelajar di peringkat sekolah menengah.
Keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Dengan pelaksanaan keputusan ini komponen Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Tahap 1 sekolah kebangsaan meningkat daripada 60 peratus kepada 75.6 peratus, manakala di Tahap 2 meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus. Peningkatan yang sama juga berlaku di peringkat sekolah menengah.
Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.
Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.
footnote: artikel dipetik drpd http://www.mudahbelajar.com/?p=325

1 BICARA ANDA:

Anonymous said...

Terima kasih untuk blog yang menarik