BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, January 20, 2010

SAFAR kembali menjenguk kita...

Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka.
Peristiwa penting bulan Safar

~Perkahwinan Baginda saw dengan Khadijah binti Khuwailid r.a, ianya berlaku sebelum Nabi saw dilantik menjadi Rasul.
~Kebenaran berperang (2 Hijrah), peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah saw adalah 'Wudan' atau 'Abwak' bagi menentang kekufuran.
~Tragedi Ar-Raji', berlaku pada tahun ketiga Hijriyah (pendapat lain, 4 Hijriyah). Seramai tujuh orang sahabat Baginda saw diutus untuk mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan Al-Qarah, tetapi mereka telah mengkhianati perutusan tersebut dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan yang bernama Ar-Raji' di daerah 'Usfan (kawasan di antara Mekah dan Madinah).
~Di antara yang menyertai perutusan itu Khubaib bin 'Adiy, Marthad bin Abi Marthad Al Ghanawiy, 'Asim bin Thabit dan Zaid bin ad-Dathanah.
~Kesemua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin 'Adiy yang dibawa ke Mekah dan dibunuh di sana. Beliau merupakan orang yang pertama menunaikan dua raka'at sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.
~Peperangan Bi'ru Ma'unah (4 Hijrah), di bawah pimpinan Al-Munzir bin 'Amr As Sa'idiy yang ditugaskan untuk berda'wah dan mengajar tentang agama Islam dan Al-Quran kepada Bani 'Amir disertai oleh 40 orang sahabat Baginda s.a.w.
~Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ketujuh Hijriyah, disertai juga oleh 20 orang sahabat wanita di antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala di pihak Yahudi pula seramai 73 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulaannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, jumlah alat kelengkapan senjata dan bilangan mereka yang ramai.
~Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijriyah di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid.
~Pelantikan 'Abd. Rahman Al Ghafiqiy sebagai Gabenor Andalusia pada tahun 113 Hijrah.
~Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.
~Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yanb berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijriyah. Khalifah 'Abbasiah, Al-Mu'tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu orang Islam. Beribu-ribu kitab Islam musnah.
Amalan sunat di bulan Safar
Amalan-amalan sunat di bulan Safar adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Safar yang menjadi amalan Rasulullah saw ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh.
Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim.

Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun.
Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.
Kepercayaan dan amalan-amalan Khurafat

Walaupun sudah semakin kurang namun masih ada segelintir di kalangan masyarakat kita yang masih berpegang dengan kepercayaan dan amalan-amalan karut datuk nenek moyang kita yang entah dari mana asasnya.
Di antara kepercayaan dan amalan-amalan karut yang berlaku dan ada kaitan dengan bulan Safar itu ialah;
# Rabu terakhir adalah hari malang
# Biawak petanda celaka
# Burung hantu petanda kemudharatan
# Burung gagak petanda kematian
# Bulan Safar adalah bulan bala
# Kononnya untuk mengelakkan petanda-petanda buruk ini dari berlaku maka disunatkan mandi Safar, berpuasa dan membuat kenduri tolak bala khas di bulan Safar. Kepercayaan dan amalan-amalan di atas tadi adalah khurafat kerana tiada asas ataupun sumber rujukan dari mana asalnya.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah ayat 51 yang tafsirannya:

"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.''
Adapun ada hadith-hadith yang mengatakan tentang perkara-perkara tersebut adalah ditolak kerana ia adalah hadis palsu yang sengaja direka-reka dan sudah dinafikan oleh satu hadith shahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Maksudnya: Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti mana engkau lari dari singa.

Maka hukum berpegang dengan kepercayaan karut adalah ditolak. Jika ia berkaitan atau menyalahi akidah maka ia boleh membawa kepada syirik dan merosakkan iman. Apabila iman sudah rosak, maka ia akan mempengaruhi amalan maka amalan juga tidak akan diterima oleh Allah subhanahu wa ta'ala.
Beramal dengan perkara-perkara tersebut juga adalah ditolak kerana ia adalah bid'ah dhalalah. Maka beramal dengan perkara-perkara bid'ah dhalalah adalah haram hukumnya. Dan ada banyak lagi kepercayaan dan amalan-amalan yang karut berkaitan dengan bulan Safar ini mengikut kawasan-kawasan dan kaum-kaum tertentu.

0 BICARA ANDA: