BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, November 3, 2009

~BAGAIMANA MENJADI GURU YANG BAIK???~





Tidak mudah menjadi guru yang baik, dikagumi dan dihormati oleh anak didik, masyarakat sekitar dan rakan sejawat. Ada beberapa hal yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk mendapat ‘pengiktirafan’ sebagai guru yang baik dan cemerlang.
Pertama. Berusahalah tampil di hadapan kelas dengan penuh wibawa. Kuasai setiap topik pelajaran yang akan diberikan kepada pelajar. Jika perlu, ketika berbicara di hadapan kelas tidak membuka catatan atau memegang mana-mana buku sekalipun. Berbicaralah yang jelas dan lancar sehingga terkesan di hati pelajar bahawa kita benar-benar tahu segala topik yang disampaikan.
Kedua. Jadilah bijaksana. Sedarilah bahawa pelajar yang kita ajar, memiliki tahap kepandaian yang berbeza-beza.Ada yang cepat memahami, ada yang sedang, ada yang lambat dan ada yang sangat lambat bahkan ada yang sulit untuk memahami. Jika kita memiliki kesedaran ini, maka kita perlu memastikan kita memiliki kesabaran yang tinggi untuk menghadapi pertanyaan-pertanyaan dari anak didik kita. Carilah cara sederhana untuk menjelaskan kepada pelajar yang memiliki tingkat kemampuan rendah dengan contoh-contoh sederhana yang sering dijumpai dalam kehidupan harian walaupun mungkin contoh-contoh itu agak tidak bermakna.
Ketiga. Berusahalah selalu ceria di hadapan kelas. Jangan membawa masalah-masalah dari rumah atau dari tempat lain ke dalam kelas sewaktu kita sedang mengajar.
Keempat. Kendalikan emosi. Jangan mudah marah di kelas dan jangan mudah tersinggung kerana tingkah laku pelajar. Ingat, pelajar yang kita ajar adalah remaja yang emosinya mudah berubah. Pelajar yang kita ajar berasal dari tempat dan budaya yang mungkin berbeza antara satu sama lain dan berbeza dengan kebiasaan kita, apatah lagi mungkin pendidikan di rumah dari ibu bapanya memang kurang sesuai dengan tata cara dan kebiasaan kita. Marah di kelas akan membuat suasana menjadi tidak elok, pelajar menjadi tegang. Hal ini akan mempengaruhi daya berfikir pelajar untuk menentukan baik buruk kepada pelajar dan juga mempengaruhi penerimaan mereka terhadap pengajaran kita.
Kelima. Berusaha menjawab setiap pertanyaan yang diajukan pelajar. Jangan memarahi pelajar yang terlalu kerap bertanya. Berusaha menjawab setiap pertanyaan yang diajukan pelajar dengan baik. Jika suatu ketika ada pertanyaan daripada pelajar yang tidak dapat dijawab, berlakulah jujur. Berjanjilah untuk memberikan jawapan yang betul pada pertemuan lain sementara kita berusaha mencari jawapan tersebut. Janganlah merasa malu kerana hal ini. Ingat, sebagai manusia kita mempunyai keterbatasan dan kekurangan. Tetapi, jangan pastikan perkara sebegini selalu terjadi. Untuk menghindari kejadian seperti ini, berusahalah untuk banyak membaca dan belajar lagi. Jangan bosan belajar. Janganlah menutupi kelemahan kita dengan cara marah-marah bila ada pelajar yang bertanya sehingga menjadikan pelajar tidak berani bertanya lagi. Jika pelajar sudah tidak berani bertanya, jangan harap pendidikan/pengajaran kita akan berhasil.
Keenam. Memiliki rasa malu dan rasa takut. Untuk menjadi guru yang baik, maka seorang guru harus memiliki sifat ini. Dalam hal ini yang dimaksudkan rasa malu adalah malu untuk melakukan perbuatan salah, sementara rasa takut adalah takut dari akibat perbuatan salah yang kita lakukan. Dengan memiliki kedua sifat ini maka setiap perbuatan yang akan kita lakukan akan lebih mudah kita kendalikan dan kita akan mempertimbangkan kembali apakah akan terus dilakukan atau tidak.
Ketujuh. Harus menerima hidup ini seadanya. Profesion keguruan diagungkan oleh semua pihak tetapi kenyataannya masih belum dapat menjamin kesejahteraan kehidupan guru. Kita harus menerima kenyataan ini, jangan membandingkan penat lelah dan usaha kita dengan profesion lain. Berusaha untuk hidup sederhana dan jika masih belum mencukupi berusaha melakukan pekerjaan sampingan lain yang halal, yang tidak merugikan orang lain dan tidak merugikan diri sendiri.
Kelapan. Tidak sombong.Tidak menyombong diri di hadapan pelajar/jangan membangga
diri sendiri, baik ketika sedang mengajar ataupun waktu lain. Jangan mencemuh pelajar yang tidak pandai di kelas dan jangan memalukan pelajar (yang salah sekalipun) di khalayak ramai. Namun, panggillah pelajar yang bersalah dan bicaralah dengan baik-baik, tidak berbicara dan berlaku kasar pada pelajar.


Kesembilan. Berlakulah adil. Berusahalah berlaku adil dalam memberi penilaian kepada pelajar. Jangan membeza-bezakan pelajar yang pandai/mampu dan pelajar yang kurang pandai/kurang mampu serta tidak memuji secara berlebihan terhadap pelajar yang pandai di hadapan pelajar yang kurang pandai.

feetnote: dipetik dan diedit dr lmn web: http://zainurie.wordpress.com/2007/05/02/bagaimana-menjadi-guru-yang-baik-profesional/

0 BICARA ANDA: